Membawang Hari Ini

Bukan Lagi Masa Kejar Wang – Catriona Ross

KUALA LUMPUR: Pelakon Catriona Ross mengakui, dia kembali berlakon bukan kerana mengejar wang, sebaliknya mahu mencari kepuasan selepas memperlahankan aktiviti seninya untuk memberi tumpuan kepada keluarga.

Selari dengan misi itu, Catriona, 37, kini mengutamakan naskhah yang mampu melonjakkan lagi bakatnya kerana mahu kemunculan semulanya membekas di hati penonton.

“Saya tidak lagi meletakkan wang sebagai keutamaan, sebaliknya mahu lakonan saya diingati dan membekas di hati penonton. Saya mahu menjadi pelakon yang disegani kerana bakat dan kredibiliti yang ada.

“Saya juga letakkan disiplin sebagai kunci utama. Sebelum ke lokasi penggambaran, saya akan pastikan membuat persediaan rapi untuk karakter yang dibawa. Saya tidak mahu mensia-siakan bakat yang ada apabila berlakon sambil lewa,” katanya memetik sumber Berita Harian.

Pelakon berdarah kacukan Melayu-Scotland itu bersyukur kemunculan semulanya menerusi drama seperti Dekatkan Jarak Kita menerima pujian penonton.

Meskipun ada yang memandang sinis apabila dia bersedia menerima watak ibu kepada pelakon muda, Catriona tidak melihat perkara itu sebagai isu yang harus diperbesarkan.

“Saya percaya kepada kekuatan skrip dan watak yang mampu meninggalkan kesan di hati penonton. Semua itu saya temui dalam karakter Mama Ijah ketika berlakon drama terbabit.

“Saya tidak kisah bawa watak ibu kerana itu penghargaan untuk bakat saya. Pada usia sekarang, saya bangga mampu mempelbagaikan karakter,” katanya.

Catriona berkata, sebelum ini, dia berkorban apabila terpaksa memperlahankan aktiviti lakonan untuk membesarkan tiga anaknya iaitu Sephia Rania, 7; Jammal Raess, 5 dan Edruce Riyadh, 2.

Dia yang yang kini sibuk di lokasi drama 26 episod, Dia Pengantin Ku mengakui, pelbagai isu membabitkan pembantu rumah membuatkan tidak sanggup meninggalkan mereka tanpa pemantauan rapi.

“Saya tidak ralat berkorban, malah sanggup menanti anak membesar sebelum kembali melepaskan rindu dalam dunia lakonan. Sebelum ini, saya masih menerima tawaran, tetapi terpaksa membataskannya kerana kekangan masa.

“Alhamdulillah, akhirnya saya dipertemukan dengan pembantu rumah yang banyak membantu meringankan tugas. Dia sangat bertanggungjawab, malah sentiasa berkongsi aktiviti anak menerusi panggilan video setiap kali saya ada urusan.

“Sesekali saya akan pulang melakukan kejutan. Melihat sikapnya yang bertanggungjawab itu, saya tidak risau meninggalkan anak bersamanya. Mereka dijaga dengan baik, membuatkan hati saya semakin tenang untuk kembali bekerja,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");