Isu Panas

Isu Tanah Ijok Mengelirukan

SEMENYIH: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, diminta tampil memberi penjelasan secara terperinci mengenai skandal tanah di mukim Ijok bernilai RM1.81 bilion.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Datuk Johan Abd Aziz, berkata ini adalah tanggungjawab beliau selaku Menteri Besar untuk beri penjelasan kerana timbul persoalan mengapa bayaran pampasan terhadap peneroka hanya RM421 juta, sedangkan pihak pemaju mendapat berlipat kali ganda.

Katanya, apa yang lebih mengelirukan adalah status pemaju terbabit, yang dikatakan gagal dan bermasalah menguruskan tanah, sehingga ia diambil semula oleh kerajaan ketika Tan Sri Khalid Ibrahim mentadbir Selangor.

“Rakyat sangat keliru bagaimana dua syarikat yang dikatakan bermasalah boleh mendapat semula tanah terbabit?

“Jangan anggap ini isu remeh, apatah lagi apabila pihak peneroka tidak berpuas hati dengan nilai pampasan yang diterima.

“Saya harap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak berwajib siasat mengenai perkara ini,” katanya ketika ditemui pada program Sentuhan Jualan Rakyat, di sini, hari ini.

Baru- baru ini, Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, menuntut Ahli Parlimen Gombak itu memberi penjelasan mengenai tindakan tergesa-gesa beliau membenarkan dua syarikat swasta menjual tanah di mukim Ijok bernilai RM1.181 bilion kepada sebuah syarikat lain sebelum proses peringkat Mahkamah Persekutuan selesai dijalankan.

November lalu, dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Generation2u United Club dan Persatuan Pemuda Kampung Lindungan 565, membuat laporan kepada SPRM bagi meminta siasatan dijalankan jika terdapat unsur rasuah dalam isu tanah di mukim Ijok.

Tanah seluas 880 hektar itu dibeli oleh dua syarikat, LBCN Development Sdn Bhd dan Mujur Zaman Sdn Bhd pada 1998, namun diambil semula kerajaan negeri pada 2008 mengikut Kanun Tanah Negara berikutan pelanggaran syarat dan terma perjanjian.

Sementara itu, program Sentuhan Jualan Rakyat, yang diadakan buat kali pertama itu, bertujuan meringankan kos perbelanjaan harian masyarakat setempat.

Programitu mendapat kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), syarikat Padiberas Nasional (BERNAS), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Econsave.

Pelbagai barangan keperluan asas dijual pada harga jauh lebih murah berbanding harga pasaran.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");