Jenayah

Kontraktor Bebas Dengan Jaminan SPRM

KOTA KINABALU: Kontraktor berumur 60 tahun yang direman sejak 28 Januari lalu bagi membantu siasatan kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS), dibebaskan hari ini.

Suspek dibebaskan di lokap berpusat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kepayan, di sini, di hadapan Majistret Stephanie Sherron Abbie.

Stephanie turut memerintahkan suspek membayar wang jaminan RM50,000 kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan dua penjamin tempatan dan melapor diri di pejabat agensi itu setiap bulan lapor Berita Harian.

Sebelum ini, SPRM merampas wang tunai berjumlah RM1.6 juta selepas menggeledah rumahnya berhubung siasatan kes berkenaan.

SPRM diwakili Pegawai Pendakwa Mohd Faliq Basirudin, manakala peguam Batholomew Jinggulam mewakili kontraktor terbabit.

Kontraktor berkenaan adalah antara tujuh orang yang disiasat berhubung kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa JKNS iaitu membabitkan projek dilaksanakan antara 2012 hingga tahun lalu.

Tiga kakitangan jabatan berkenaan dan seorang pengarah syarikat yang ditahan sebelum ini juga sudah dibebaskan selepas direman 10 hari.

Dua lagi iaitu penolong jurutera JKNS berumur 36 tahun dan 38 tahun masih ditahan reman hingga Isnin ini.

SPRM merampas wang tunai kira-kira RM1.6 juta dan membekukan RM5.3 juta simpanan dalam beberapa akaun membabitkan beberapa suspek yang disiasat berkaitan kes itu setakat ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");