Jenayah

Pelbagai Barang Seludup Lebih RM70,000 Dirampas

BUKIT KAYU HITAM: Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) merampas pelbagai barang seludup, termasuk beras wangi, minuman keras dan kuku harimau dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah lebih RM70,000.

Komander AKSEM Bukit Kayu Hitam, Asisten Superintenden Mohd Khairi Abdullah, berkata anggotanya menahan tiga lori di Kilometer 2, sekitar jam 9.30 malam tadi.

Beliau berkata, ketiga-tiga lori itu menunjukkan invois membawa sayur, namun hasil pemeriksaan lanjut menemui ikan sungai seperti haruan, beras, minuman keras dan pelbagai jenis makanan dari negara jiran yang cuba disorok di bahagian belakang kenderaan terbabit.

“Kita turut menemui kuku harimau terselit di bahagian dalam sebuah daripada lori berkenaan, dipercayai untuk dibuat tangkal tetapi tidak dibenarkan dibawa masuk ke negara ini.

“Berikutan itu, kita merampas kesemua barangan dalam ketiga-tiga lori terbabit untuk tindakan lanjut dan turut menahan tiga pemandu lori warga Thailand berusia 35 tahun bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Kompleks Pentadbiran AKSEM Bukit Kayu Hitam di sini, hari ini.

Mohd Khairi berkata, pihaknya percaya tiga lori itu bergerak secara konvoi membawa barangan terbabit ke dalam pasaran negara ini berikutan permintaan tinggi sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

“Hasil pemeriksaan menemui 30 guni beras wangi mengandungi 1,500 kilogram beras, 15 kotak minuman keras dengan setiap kotak mengandungi 12 botol, dan pelbagai jenis barangan makanan seperti laksa, mi segera dan sos dari Thailand.

“Kita percaya tiga lori terbabit daripada tauke sama tetapi bergerak berasingan untuk membawa barangan itu ke Pulau Pinang, Sungai Petani dan Alor Setar,” katanya.

Hasil maklumat dan risikan diperoleh, Mohd Khairi berkata, pihaknya melakukan tangkapan itu hanya dalam tempoh sejam serta berjaya memperoleh rampasan terbesar tahun ini, setakat ini.

“Beras wangi dirampas akan diserahkan kepada Bahagian Kawal Selia Padi, kuku harimau (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara), minuman keras (Jabatan Kastam Diraja Malaysia) dan barangan makanan (Jabatan Kesihatan Kedah), untuk tindakan lanjut.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967 kerana mengangkat atau memindahkan barangan belum lulus kastam,” katanya.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");