Jenayah

Bapa Dipenjara, Denda RM20,000 Pukul Anak Dengan Besi

PETALING JAYA: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mendera anak kandung perempuannya sehingga cedera di kepala menggunakan besi kabinet, Julai tahun lalu.

Hakim Hilmiah Yusof menjatuhkan hukuman itu terhadap Ng Beng Chun, 41, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Mandarin.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini, dan penjara setahun lagi sekiranya denda gagal dibayar.

Menurut laporan BH Online, tertuduh tidak membayar denda itu.

Dalam prosiding itu, sebelum menjatuhkan hukuman, Hilmiah menasihati tertuduh supaya melindungi anak perempuannya.

“Kamu sebagai bapa patut mendidik, namun didikan tidak boleh sampai tahap mencederakan, walaupun mangsa adalah anak kandung kamu, dia masih rakyat Malaysia dan mempunyai hak sebagai warganegara untuk dilindungi di bawah undang-undang.

“Ambillah hukuman ini sebagai pengajaran di masa hadapan,” katanya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja sendiri itu didakwa menganiaya anak kandung perempuannya yang berusia 11 tahun dengan memukul mangsa menggunakan besi kabinet di bahagian kepala.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Pangsapuri Cempaka, Jalan Prima 7/1, Taman Puchong Prima, di sini pada 7 malam, 8 Julai 2016.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 31[1][a] Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara yang boleh sampai 20 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara terhadap tertuduh atas alasan tertuduh sendiri mengaku menganiaya anaknya sejak kanak-kanak itu berumur enam tahun.

“Laporan perubatan juga menunjukkan banyak kesan luka lama di badan mangsa, hanya hukuman penjara yang mungkin dapat menginsafkan tertuduh,” katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia memukul anaknya untuk mengajar kanak-kanak itu.

“Saya telah kehilangan perkahwinan, keluarga dan kerja. Saya benar-benar insaf dan berharap mahkamah dapat memberikan satu lagi peluang untuk saya berubah,” katanya.

Mengikut fakta kes, kanak-kanak itu sedang duduk bersendirian di sebuah stesen minyak di Puchong Prima sebelum dihampiri pengadu, yang juga pekerja di situ yang menyoalnya dan mangsa memberitahu dia melarikan diri dari rumah kerana bapanya memukulnya.

Pengadu kemudian membawa kanak-kanak itu ke Balai Polis Bukit Puchong dan siasatan dijalankan mendapati mangsa sering dipukul oleh bapanya sejak berumur enam tahun.

Sementara itu, pemeriksaan doktor turut mendapati mangsa mengalami kecederaan berdasarkan parut dan calar di bahagian badan, kaki kiri dan kanan selain terdapat bekas pukulan rotan, lebam serta luka pada kepala menggunakan objek tumpul.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");