Perak Hari Ini

Cadang Tambahkan Perkhidmatan Rapid Bas Seluruh Perak

MANJUNG:Kerajaan negeri bercadang untuk memperluaskan jaringan perkhidmatan bas awam Rapid di beberapa daerah di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata penambahan sistem tersebut bergantung kepada kepadatan penduduk di kawasan tertentu termasuk bandar-bandar di negeri ini.

“Kita memerlukan perkhidmatan yang lebih tersusun dan efisien seperti dikawasan Hilir Perak, Bagan Datuk yang mempunyai kadar penduduk yang tinggi dan tidak dimasuki syarikat pengangkutan awam lain kerana itu kita memilih untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya kepada media selepas melancarkan perkhidmatan bas awam Rapid Manjung di Dataran Lumut hari ini.

Turut hadir sama Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Datuk Redza Rafiq dan Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bas Sdn.Bhd Mohd Azam Omar.

Terdahulu sebanyak 10 buah bas Rapid Manjung akan melibatkan jarak 22 kilometer dari Bandar Manjung ke Lumut dan laluan Manjung City Loop sepanjang 31 kilometer dengan purata kekerapan 45 minit untuk satu perjalanan.

Orang awam juga berpeluang menggunakan perkhidmatan Bas Rapid Manjung secara percuma selama sebulan sehingga 31 Mac 2018.

Kata Zambry lagi, Manjung menjadi lokasi kedua pelaksanaan Rapid selepas Rapid Kamunting.

“Melalui pendekatan ini, ia sekaligus akan membantu bagi menggantikan bas rakyat.

“Hampir 8 tahun bas rakyat beroperasi dengan baik tetapi dengan adanya Rapid ini akan menambahbaik perkhidmatan pengangkutan awam di Manjung serta kawasan lain kelak,” katanya.

Jelas beliau lagi, Tanjung Malim merupakan destinasi yang boleh dipertimbangkan oleh pihak Rapid (Prasarana) berikutan pertumbuhan besar kawasan itu pada masa akan datang.

“Bas Rapid juga akan menambahkan kecekapan perkhidmatan memandangkan Pulau Pangkor menjadi Pulau Bebas Cukai tetapi paling utama menyediakan kemudahan pengangkutan awam lebih efisien di seluruh kawasan di Negeri Perak,” katanya.

Rapid Manjung turut menyediakan dua laluan khas meliputi laluan 101:Bandar Manjung-TLDM Lumut dan 102: Manjung-City Loop melibatkan kawasan pasaraya, bangunan kerajaan, hospital, sekolah, kawasan rekreasi serta kediaman di Daerah Manjung.

Inisiatif Rapid Manjung telah dirangka melalui aspirasi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan kerjasama antara NCIA, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan Majlis Perbandaran Manjung (MPM).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");