Jenayah

Dua Mangsa Sindiket Dadah Antarabangsa Dibawa Pulang 26 Mac

KUALA LUMPUR: Dua wanita mangsa sindiket dadah antarabangsa dijangka tiba di Malaysia pada 26 Mac ini, hasil usaha dilaksanakan Biro Kebajikan Umno Malaysia (Bikum) sejak setahun lalu.

Pengerusi Bikum, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, Noor Azimah Sapie, 37, dan Noor Suzana Azmi, 35, turut akan dibawa pulang bersama anak-anak mereka.

Menurutnya, segala urusan berkaitan dokumentasi dan perundangan termasuk bayaran denda kedua-dua kes wanita itu telah berjaya diselesaikan dengan kerjasama Bahagian Kaunselor Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) dan Kedutaan Malaysia di Peru.

“Empat wakil Bikum diketuai Setiausaha Operasi, Mohd Shobli Jamil Kamarulzaman Ahmad, akan ke Peru esok (20 Mac) untuk urusan membawa pulang Noor Azimah serta seorang anak, dan Noor Suzana serta dua anak kesemuanya berjumlah enam orang.

“Mereka dijadualkan tiba pada 26 Mac ini jam 2.50 petang di KLIA,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Shamsul Anuar berkata, Bikum membelanjakan kos keseluruhan berjumlah lebih RM200,000 untuk urusan membawa pulang kesemua mereka.

Menurutnya, ia termasuk kos lebih RM28,000 untuk membayar denda Azimah dan Suzana kerana tinggal lebih waktu di Peru.

“Azimah menjadi mangsa penganiyaan keluarga sendiri namun tidak ditahan. Dia menjadi gelandangan dan tinggal di Peru tanpa dokumen sah sejak 2008. Suzana pula menjadi mangsa sindiket pengedaran dadah antarabangsa dan dipenjarakan selama lima tahun. Setelah bebas dia tinggal di Peru lebih tujuh tahun dan berkahwin dan mempunyai dua anak,” katanya memetik sumber Sinar Harian.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya mengatur kempen kesedaran melibatkan perkongsian secara langsung oleh dua wanita terbabit sebaik berada di tanah air kelak.

“Program sebegini bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat, khususnya kumpulan sasar di pelbagai peringkat apatah lagi sindiket sedemikian kian berleluasa,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");