Sukan Hari Ini

Hukuman FMLLP Tak Masuk Akal: Bakri

KUALA LUMPUR: Walau apa jua alasan, tindakan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) mengenakan denda berat ke atas 10 pasukan kerana kegagalan melengkapkan pendaftaran tetap dianggap tidak profesional dan keterlaluan.

Bekas pemain kebangsaan, Bakri Ibni berkata walaupun FMLLP diberi kuasa menentukan bentuk hukuman mengikut Perkara 43 (Pematuhan Peraturan) seperti terkandung dalam Liga M, tindakan badan pentadbir liga itu dilihat tidak rasional.

“Saya bersetuju FMLLP mengenakan denda ke atas persatuan atau kelab yang gagal melaksanakan tanggungjawab mereka berbanding tindakan memotong mata pasukan seperti dilaksanakan musim lalu.

“Ia sebagai pengajaran kepada mereka, sesuai dengan bola sepak kita yang sudah berstatus profesional. Tapi, berpada-padalah menjatuhkan hukuman, ikut kesesuaian liga kita, bukan mengikut cita rasa sendiri.

“Hukuman itu biarlah ‘masuk akal’. RM1.5 juta dan RM500,000 itu bukan kecil, ia boleh melumpuhkan pasukan. Sepatutnya denda RM100,000 atau RM50,000 sudah memadai.

“Alasan setiap pasukan sudah diberikan dana tambahan musim ini tidak boleh dijadikan ukuran. Takkan dah beri, FMLLP nak kutip balik dengan cara mengenakan denda yang tinggi.

“Malah, walaupun semua pasukan itu boleh membuat rayuan tapi berapakah jumlah denda yang boleh dikurangkan? Saya tak fikir FMLLP akan turunkan daripada RM1.5 juta kepada RM100,000 sahaja,” ujar Bakri, sebagaimana dilaporkan BH Online.

Beliau berkata, FMLLP sepatutnya menetapkan lebih awal dalam undang-undang bentuk hukuman yang bakal dikenakan ke atas persatuan yang melakukan kesalahan tertentu.

“Perlu ada ketetapan bukan menghukum ikut keadaan. Dengan cara ini setiap persatuan atau kelab sudah sedia maklum daripada awal apakah risiko yang bakal mereka hadapi jika melanggar undang-undang berkenaan.

“Malah, saya yakin pendekatan mendidik lebih berkesan daripada menghukum kerana walaupun sudah bergelar profesional, kelab-kelab di Malaysia masih dalam proses pembelajaran untuk memahami apa itu profesional,” kata Bakri.

FMLLP mengenakan denda RM1.5 juta ke atas empat pasukan Liga Super – Selangor, PKNS FC, Kuala Lumpur dan Kelantan. Selain itu denda RM500,000 dikenakan ke atas enam pasukan Liga Perdana – Kuantan FA, PDRM, Sarawak, Pulau Pinang, MISC-MIFA dan UKM FC.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");