Perak Hari Ini

Mahu Tambah Jumlah Calon Wanita Hadapi PRU

IPOH:Barisan Nasional (BN) Perak sentiasa memberi ruang serta berusaha menambahkan jumlah calon wanita termasuk penglibatan parti komponen.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata tradisi kerajaan Negeri Perak memberikan ruang kepada golongan wanita terlibat sama dalam menggalas tugas selaku exco dan tanggungjawab lain.

“Kita tidak boleh nafikan peranan wanita penting dalam setiap pilihan raya. Sememangnya kita berusaha menambahkan lagi jumlah calon wanita termasuk UMNO dan parti komponen,” katanya dalam satu sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Jentera Wanita dan Puteri peringkat Negeri Perak di kediaman Menteri Besar di sini hari ini.

Turut hadir sama Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan barisan jentera wanita dan puteri peringkat Negeri Perak.

 

Sekitar 2,000 orang jentera melibatkan wanita dan puteri termasuk penyertaan jentera parti komponen hadir pada majlis tersebut.

Katanya lagi, komitmen yang ditunjukkan daripada peringkat bawah jentera pilihan raya membuktikan tahap kesiapsiagaan peringkat negeri Perak melibatkan wanita telah berada pada tahap terbaik.

“Setelah diumumkan pembubaran parlimen hadapi pilihan raya ini kesemua jentera sudah bersiap sedia,” katanya.

Sementara itu, Shahrizat turut menyifatkan jentera wanita yang diketuai oleh Ketua Wanita UMNO Perak, Datuk Rusnah Kassim berada pada tahap sangat baik.

“Perpaduan, kerjasama berada pada tahap amat baik sekali komitmen dan persiapan jentera juga amat baik begitu juga Puteri pada kali ini juga kita mengabungkan tenaga wanita, pemuda, puteri malah cawangan, persatuan dan lain-lain.

“Kita sudah siap-siaga bila sahaja semboyan ditiup kita bersedia untuk turun,” katanya.

Jelasnya lagi, sejak pentadbiran Zambry, pengupayaan wanita dan penglibatan mereka di Negeri Perak berjalan dengan begitu sistematik dan sempurna.

“Ramai wanita diberi tempat untuk mencatat sejarah ada ramai yang menjadi pertama adalah wanita malah Dewan Undangan Negeri diketuai wanita dan antara negeri yang baik selepas Johor,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");