Sukan Hari Ini

Malaysia Tigers Mula Langkah Kanan

IPOH: Malaysia mempamer aksi cemerlang apabila membenam Ireland 4-1 pada perlawanan pembukaan edisi ke-27 Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah, semalam.

Dikuatkan dengan sokongan padu ribuan penyokong tempatan, anak buah Stephen Van Huizen itu mempamer corak permainan kemas serta pertahanan kental untuk menghampakan lawan yang menduduki ranking ke-10 dunia itu.

Memetik laporan BH Online, Razie Rahim boleh dianggap sebagai wira pasukan apabila meledak tiga jaringan untuk Malaysia yang menghuni ranking ke-12 dunia melakar kemenangan selesa ke atas lawan yang tergamam dengan aksi tuan rumah.

Begitupun Malaysia bermula gemuruh di awal permainan yang menyaksikan mereka memberikan pukulan sudut penalti kepada lawan seawal minit pertama.

Tetapi, Razie meredakan sedikit tekanan itu dengan menyumbat gol pertama pada minit keempat.

Lima minit kemudian Tengku Ahmad Tajuddin melebarkan kedudukan tuan rumah diikuti kuisan kencang Razie dari pukulan sudut penalti pada m-24 untuk Malaysia mendahului 3-0 pada babak pertama.

Malaysia terus menguasai permainan dan mampu menang dengan jurang lebih besar jika tidak kerana ketangkasan penjaga gol Ireland, Mark Ingram.

Namun tidak ada apa yang dapat dilakukan Ingram untuk menyekat Razie yang menyumbat gol peribadi ketiganya pada minit ke-44.

Selesa dengan empat jaringan, pemain-pemain negara dilihat lalai hingga gawang mereka berjaya dibolosi oleh Kirk Shimms pada minit ke-53.

“Kita beraksi cemerlang tetapi di penghujung perlawanan ia sedikit longgar dan memberi terlalu banyak pukulan penalti.

“Jika bertemu lawan yang miliki pakar pukulan sudut penalti sudah tentu mengundang padah,” kata Stephen.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");