Membawang Hari Ini

‘Apakah Tempat Yang Bertubuh Besar Hanya Di Rumah?’

KUALA LUMPUR: Pelakon Syanie, 44, terasa hati dengan status yang dimuat naik seorang penggiat industri fesyen di laman sosial, baru-baru ini yang disifatkannya sebagai mempersenda mereka yang bertubuh besar.

Syanie atau nama penuhnya, Syanie Hisham berkata, kenyataan seperti itu tidak seharusnya keluar daripada individu yang selama ini dihormatinya kerana ia begitu mengguris perasaaan.

“Selama ini saya kagum dengan personalitinya, malah tertarik melihat pembawakan dirinya dalam berfesyen. Tetapi, sayang kerana kenyataannya itu, tanggapan saya terhadapnya berubah.

“Dia tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang seolah-olah mempersenda mereka yang bertubuh besar. Apakah orang bersaiz besar tidak layak menghadiri pertunjukan fesyen? Apakah kami hanya sesuai duduk di rumah?

“Saya tiada masalah jika dia mahu mengkritik fesyen yang digayakan individu bertubuh besar. Itu haknya, tetapi jangan menghina seolah-olah kami hanya layak duduk di rumah,” katanya kepada BH Online.

Terdahulu, pengkritik fesyen itu memuat naik status yang mengundang perdebatan ramai di media sosial apabila meluahkan ketidakselesaan dengan kehadiran individu bertubuh besar dalam pertunjukan fesyen.

Pelakon Senario The Movie itu menambah, kenyataan wanita itu juga secara tidak langsung membuatkan golongan bersaiz besar tiada keyakinan diri untuk tampil ke depan.

“Kenyataannya itu ibarat menafikan hak dan menindas orang bertubuh besar untuk bersama-sama dalam sesuatu acara atau hidup bersosial.

“Mentaliti seperti ini yang membuat orang berbadan besar berasa rendah diri dan kurang keyakinan. Jangan pandang rendah kerana kami juga layak dihormati,” katanya.

Sementara itu, pereka fesyen terkenal, Datuk Tom Abang Saufi turut memberikan reaksi dengan memuat naik foto bersama pereka fesyen dari Jakarta, Indonesia untuk berkongsi pengalamannya di Instagram.

Tom yang memulakan kerjaya dalam rekaan fesyen sejak tahun 1985 menerusi catatannya meluahkan, dia belum pernah mendengar isu fizikal tetamu menjadi masalah untuk menghadiri sesebuah pertunjukan fesyen.

“Kami sudah ke pelbagai tempat untuk kerja dan sentiasa berkongsi warisan negara. Kami turut menghadiri pelbagai pertunjukan fesyen di peringkat antarabangsa.

“Setakat ini, belum pernah kami berdepan dengan isu berat badan. Kami sering berkongsi minat dan karya dalam kerjaya,” tulisnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");