Perak Hari Ini

Inisiatif Hamam Menuju ‘Perak Yang Bersih’ Disambut Baik Semua Pihak

IPOH: Agama Islam amat menitikberatkan soal kebersihan, malah sifat yang suka kepada kebersihan disebut sebagai salah satu ciri-ciri orang yang beriman.

Walau bagaimanapun, agak mengecewakan apabila terdapat segelintir masjid ataupun surau di negeri ini yang gagal mengaplikasikan perkara tersebut terhadap penjagaan tandas.

Mungkin ada segelintir pihak memandang soal kebersihan tandas ini sebagai sesuatu yang kecil namun, bagi kepimpinan Kerajaan Negeri Perak yang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, ianya suatu perkara yang harus diberi penekanan.

Dalam satu hantaran yang telah dimuat naik di Facebook rasmi beliau pada Julai 2017, Zambry telah menegur tahap kebersihan yang kurang memuaskan terhadap sebuah tandas masjid di Teluk Intan.

https://www.facebook.com/zambryabdkadir/posts/1613355622038779

Hantaran yang mendapat lebih dari 1,000 ‘like’ dan 169 perkongsian itu turut mendapat respon yang sama daripada pengikut laman Facebook beliau.

Tidak kurang juga yang memuji ketegasan Menteri Besar terhadap soal kebersihan masjid dan surau di seluruh daerah.

Belum pernah diadakan oleh mana-mana negeri, Perak buat julung kalinya mengadakan Seminar Hamam 2017, yang mana ianya bertujuan sebagai langkah merevolusikan hal-hal penjagaan tandas yang melibatkan semua jawatankuasa masjid dan surau di negeri ini.

Selain penganjuran seminar, inisiatif Menteri Besar yang telah pun bermula sebelum tahun 2017 itu membuahkan hasil apabila SIRIM Berhad mengumumkan Perak sebagai negeri pertama di Malaysia yang menggunakan Modul Pembersihan Hamam (Tandas) SIRIM.

Di dalam siri-siri permukiman Menteri Besar di seluruh daerah juga, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) hamam untuk tandas-tandas masjid dan surau turut diselitkan malah, ianya mendapat sokongan penuh daripada barisan EXCO Kerajaan Negeri, wakil rakyat , ketua-ketua jabatan serta masyarakat setempat.

Sehingga Februari tahun ini, JAIPk melaporkan, sebanyak 498 masjid di seluruh Perak mendapat penarafan tiga hingga empat bintang manakala 38 masjid mendapat penarafan lima bintang.

Pengiktirafan inisiatif hamam itu tidak terhenti di situ sahaja, sebaliknya, pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri tahun lalu, buat pertama kali diadakan Anugerah Pengurusan Hamam Terbaik yang mana ianya mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bagi menyampaikan anugerah tersebut.

Hal ini menunjukkan usaha kepimpinan kerajaan negeri yang diterajui Zambry mendapat perhatian semua peringat. Baik daripada jabatan kerajaan, swasta hinggalah ke pihak istana.

Pihak parti lawan juga tidak menafikan kebaikan daripada inisiatif hamam tersebut.

Sebagai kerajaan negeri yang bertanggungjawab, aspek kebersihan khususnya tandas-tandas rumah ibadat dan awam sememangnya tidak dipandang enteng.

Bagi menjayakan misi berterusan ‘Perak Yang Bersih’ yang diilhamkan kerajaan negeri yang dipimpin Menteri Besar ini harus mendapat sokongan berterusan khususnya dalam kalangan rakyat.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");