Perak Hari Ini

Kerajaan Negeri Tepis Dakwaan MAPS Rugi

IPOH:Kerajaan Negeri menafikan dakwaan Penasihat DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham berhubung status Taman Tema Animasi Studio (MAPS) di sini yang dikatakan mengalami kerugian sekitar RM20 juta setelah beroperasi sejak Jun tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata maklumat dinyatakan Ngeh pada sidang media semalam iaitu MAPS mengalami kerugian sebanyak RM24,088,644 pada tahun 2016 adalah jumlah kerugian sebelum operasi bagi tahun berakhir Jun 2016.

“Kerugian yang dinyatakan itu adalah kerugian sebelum operasi bagi tahun berakhir Jun 2016 dan MAPS beroperasi tidak sampai setahun lagi bagaimanapun kita yakin dapat memberikan pulangan seperti yang disasarkan setelah pembukaan sepenuhnya Dream Zone sepenuhnya pada Jun ini.

“Pelaburan dalam taman tema adalah berbeza yang mana ia memerlukan modal secara intensif dan pelaburan modal MAPS dijangkakan dalam tempoh tujuh hingga 10 tahun.

“Projek ini, taman tema bukan macam meniaga satu syarikat dan upaya dapat tanah 10,000 hektar di Kelantan boleh jual balak kemudian dapat peruntukan tanam sawit. Bukan meniaga begitu kalau dia faham,” katanya menyelar dakwaan Ngeh mengenai MAPS yang dikatakan berhadapan masalah serius,” katanya dalam satu media di MAPS hari ini.

Katanya lagi, setelah MAPS dibangunkan hartanah di kawasan itu meningkat sekaligus telah menarik pelancong dari luar Perak dan membangunkan ekonomi negeri.

“Tanah di sini sebelum ada MAPS harganya sekitar RM30 satu kaki persegi hari ini catatan terakhir telah mencecah RM135 satu kaki persegi ia bukan projek atas angin, bukan juga bukan seperti kertas kerja buat terowong dapat RM30 juta, ini bukan meniaga begitu, ini projek sebenar ada peluang pekerjaan serta mendatangkan pelancong luar selain membangunkan ekonomi negeri,” katanya lagi.

Jelas Zahir, penasihat DAP Perak itu seolah keliru dan cuba mengelirukan orang ramai mengenai isu MAPS.

Zahir turut menegaskan sekali lagi, bahawa pembangunan MAPS sama sekali tidak menggunakan wang orang awam yang mana pegangan saham Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) di dalam Perak Corp Bhd (PCB) adalah 52.27 peratus dan PCB mula memegang saham Animation Theme Park Sdn Bhd (ATP) melalui PCB Development Sdn Bhd (PCBD) anak syarikat milik penuh PCB.

“MAPS tidak mengunakan langsung dana awam dan saya mengulangi kenyataan Timbalan Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Rustam Apandi Jamaludin bahawa operasi MAPS tidak terjejas sama sekali meskipun perintah pengulungan telah dikeluarkan daripada mahkamah kepada Daya Sejahtera Sdn Bhd yang sebelum ini dikenali sebagai The Sanderson Design Group (M) Sdn Bhd kerana syarikat ini cuma memiliki saham 5.6 peratus saham dalam RSG MAPS Sdn Bhd dan RSG MAPS memiliki 34.3 peratus dalam ATP.Oleh itu pegangan saham secara efektifnya di dalam MAPS hanyalah 1.9 peratus,” katanya.

Katanya, pada bulan Mac 2018 sahaja telah melonjak kepada 34,400 orang (purata 1,077 sehari) jauh daripada anggaran pembangkang yang mendakwa sekadar 200 orang sehari malah 90 peratus pengunjung itu adalah luar daripada negeri Perak.

Jelas Zahir lagi, Ngeh seolah tidak senang dengan tindakan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir hinggakan tampil menyuarakan pelbagai isu termasuk mengkritik program Permukiman Menteri Besar dianjurkan oleh Kerajaan Negeri.

“Program Permukiman sebelum pilihan raya lagi telah dianjurkan dia dengar dan rasa demam walaupun telah dijelaskan berkali-berkali tidak pernah faham,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");