Panasnya Hari Ini

Mohamad Hasan menang tanpa bertanding DUN Rantau

REMBAU: Penyandang DUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan secara rasmi menang tanpa bertanding apabila calon PKR, Dr S Streram, gagal menghantar borang penamaan calon di pusat penamaan calon di Dewan Sri Rembau di sini, hari ini.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Rembau, Amino Agus Suyub, membuat pengumuman itu selepas proses penamaan calon tamat sebentar tadi.

Difahamkan, calon PKR itu tidak dibenarkan masuk kerana tidak mempunyai pas calon, manakala pencadang serta penyokongnya turut tidak dibenarkan masuk ke dewan itu kerana tidak mempunyai pas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mohamad yang mula bertanding di kerusi itu dalam PRU-11 pada 2004, menewaskan calon PKR, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard dengan majoriti 6,199 undi.

Beliau mengekalkan rekod cemerlang dengan menewaskan calon wanita PKR, Aishah Lamsah, dua kali berturut-turut iaitu pada PRU-12 dan PRU-13, masing-masing dengan majoriti 4,613 undi dan 3,783 undi.

Mohamad ketika ditemui selepas pengumuman itu turut menafikan tuduhan BN mempunyai kaitan dengan kegagalan Dr Streram menyerahkan borang pencalonan, sebaliknya menegaskan proses itu dikendalikan sepenuhnya oleh SPR tanpa pembabitan pihak luar.

“PRU bukan diuruskan oleh BN. Beliau tak boleh masuk ke dewan bukan salah kami, ini bukan kerja BN, malah saya tidak boleh buat apa-apa.

“Saya difahamkan SPR tak benarkan beliau masuk kerana tidak kemukakan pas calon,” katanya.

Beliau berkata, semua calon BN bagi Parlimen Rembau akan pulang ke kawasan masing-masing selepas ini untuk menggerakkan jentera pilihan raya dan beliau sendiri akan turut turun padang bersama-sama membantu mereka.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");