Perak Hari Ini

Sultan Perak Seru Amalkan Politik Matang, Elak Jejaskan Keharmonian Rakyat Ketika Berkempen

KUALA KANGSAR: Dalam menghadapi Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14), Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah mengingatkan kepada mana-mana pihak yang bertanding agar wajib mempamerkan kebijaksanaan berpolitik serta mengamalkan budaya demokrasi secara matang.

Baginda turut bertitah agar mereka tidak menyentuh sebarang sensitiviti agama, kaum, budaya mahupun bahasa masyarakat lain sehingga boleh menjejaskan keharmonian kaum di negeri ini.

Selain itu, Sultan Nazrin juga bertitah agar sepanjang tempoh pilihanraya umum diadakan, segala ucapan dan perilaku hendaklah dijaga bagi mengelakkan daripada tercetusnya pergeseran dalam kalangan rakyat.

“Keselamatan negara dan ketenteraman awam terlalu berharga untuk dikorbankan disebabkan matlamat politik jangka pendek,” titah Baginda pada Majlis Menzahirkan Pengumuman Pembubaran Dewan Negeri Perak Ke-13, di Istana Iskandariah Kuala Kangsar, hari ini.

Keberangkatan Baginda diringi, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Zulkarnain Idris Shah.

Juga turut mengiringi Sultan Perak, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta barisan EXCO Kerajaan Negeri.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin turut bertitah agar pihak penguatkuasaan undang-undang dapat bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mengugat Keselamatan dan kenteraman awam sepanjang tempoh Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14).

“Integriti pihak penguatkuasaan undang-undang hendaklah dipelihara dengan mempamerkan amalan penguatkuasaan berlandaskan undang-undang secara adil, yang tidak memihak dan mempamerkan sikap partisan kepada mana-mana kumpulan, serta berpegang kepada prinsip kesetiaan kepada Raja dan Negara,” titah Baginda.

Pada perkembangan berasingan, Zambry turut menjunjung kasih titah Sultan Perak dengan juga mengingatkan semua pihak agar tidak menimbulkan sebarang provokasi pada masa terdekat ini.

“Kita harapkan agar suasana PRU14 ini, dapat berjalan dengan baik. Kempen pun dapat berjalan dengan baik.

“Seperti mana yang kita amalkan dalam tempoh 5 tahun ini. Kita berpolitiik dengan cara matang dan lunak di Negeri Perak,” katanya dalam satu sidag media di Bangunan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar, di sini, hari ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");