Sukan Hari Ini

Teguran Jelius Ubah Corak Permainan Sabah – Juil

TEGURAN dan kata-kata semangat oleh Jelius Ating antara faktor kemenangan selesa 3-1 terhadap UiTM FC dalam aksi liga di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam tadi.

Pengurusnya, Datuk Juil Nuatim, berkata pemain pasukan itu gagal mempersembahkan corak permainan baik pada awal permainan sehingga membolehkan UiTM FC lebih banyak menguasai bola.

“Bagaimanapun, masalah berkenaan cepat ‘dihidu’ oleh Jelius yang kemudian memberi teguran serta kata-kata semangat kepada mereka dan selepas itu, corak permainan kita lebih mantap sehingga berjaya memenangi perlawanan itu,” katanya ketika ditemui, selepas perlawanan itu, malam tadi.

Aksi malam tadi menyaksikan Sabah mengakhiri rekod tanpa kalah UiTM FC hasil jaringan Maxsius Musa, Sabri Sahar dan Heo Jaenyong manakala gol pasukan pelawat dijaringkan penyerang import mereka, Bakary Dao.

Kemenangan itu juga membolehkan Sang Badak merampas semula kedudukan tangga kedua liga selepas mengumpul 12 mata hasil tiga kemenangan dan tiga seri.

Juil berkata, kemenangan malam tadi telah meletakkan mereka di landasan betul untuk terus mengejar pendahulu liga iaitu Felda United yang kini enam mata di depan mereka.

“Sudah pasti kita gembira dengan kemenangan ini kerana UiTM FC juga bukan calang-calang pasukan, mereka berada di kedudukan ketiga sebelum ini dan masih belum kalah sehinggalah pertemuan dengan kita, malam tadi.

“Fokus kami sekarang ialah perlawanan seterusnya iaitu bertemu dengan Felda United pada Sabtu, kita harap akan dapat mengakhiri dominasi mereka pada perlawanan itu,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam, sebagaimana dilaporkan Stadium Astro.

Perlawanan pada Sabtu, di Stadium Likas itu dijangka menarik dengan Felda United pastinya mahu terus menjarakkan diri dengan Sabah, manakala tuan rumah pula sudah pasti tidak mahu keciciran mata di gelanggang sendiri.

“Kita bersedia menanti kehadiran mereka (Felda United), siapa pun pasukan yang datang ke sini (Stadium Likas) kita akan lawan habis-habisan dan kita harap keputusan akan berpihak kepada kita nanti,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");