Perak Hari Ini

Anwar Jamin PH Pertahan Hak Melayu, Bumiputera Serta Agama Islam

IPOH: Pakatan Harapan (PH) memberi jaminan bahawa mereka akan terus mempertahankan hak-hak masyarakat Melayu dan Bumiputera serta agama Islam selain tidak mengenepikan pembelaan kepada yang lain.

Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah pun berbincang dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkenaan hal tersebut dan ianya telah dipersetujui.

Selain itu, beliau juga menegaskan agar sebarang urusan berkaitan kerajaan akan terus menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa perantara.

“Soal Bahasa Melayu saya tidak boleh kompromi. Tidak ada masalah jika mahu memperlajari dan memperluaskan penguasaan bahasa lain namun, penggunaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan harus mantap.

“Kalau dibaca sejarah Hang Tuah, beliau diangkat menjadi pahlawan bukan sahaja handal dalam ilmu persilatan sebaliknya, ia turut dinilai dari segi kebolehannya menguasai pelbagai bahasa,” katanya.

Beliau yang berucap dalam majlis berbuka puasa di Kampung Manjoi, dekat sini, pada Selasa turut berharap agar rakyat Perak dapat memberi ruang dan masa kepada Kerjaan Negeri Perak melaksanakan janji-janji Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) mereka.

Selain itu, beliau turut mengulangi pendiriannya yang tidak mahukan sebarang jawatan dalam pentadbiran kerajaan pusat.

“Orang tanya saya bila nak jadi Perdana Menteri? Saya kata jangan tanya lagi. Tun Mahathir kini ada jalan yang mudah, biarkan beliau dan kepimpian lain bekerja. Jangan ganggu kerjanya.

“Saya hendak ambil masa bersama rakan-rakan, keluarga. Untuk masa ini, saya hanya boleh memberi sedikit pandangan dan teguran kepada rakan-rakan dalam kerajaan sahaja,” katanya.

Anwar juga berkata dirinya akan ke Turki dalam masa terdekat, bagi memenuhi jemputan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");