Panasnya Hari Ini

Calon Pas perjelas dakwaan galak ahli parti undi BN

JOHOR BAHRU – Pas tampil memberikan penjelasan berhubung dakwaan sebuah portal berita kononnya calon parti itu di Dun Kota Iskandar, Sallehudin Mohd Dahiran memberi galakan kepada ahli Pas supaya undi calon BN bagi kerusi Parlimen Iskandar Puteri.

Katanya, dakwaan itu merujuk kepada perbincangan ahli-ahli Pas dalam sebuah grup WhatsApp di mana beliau ada memberikan maklum balas terhadap isu undi calon bukan Islam di parlimen itu.

Menurutnya, maklum balas yang diberikannya itu merupakan panduan kepada ahli-ahlinya untuk mengundi calon bagi kerusi Parlimen Iskandar Puteri.

Jelasnya, maklum balas itu juga susulan ramai yang berminat untuk mengetahui ahli dan penyokong Pas Iskandar Puteri menyokong calon mana bagi kerusi Parlimen tersebut pada PRU14 ini.

“Sebagai Yang Dipertua Pas Iskandar Puteri, saya harus memberikan panduan kepada ahli saya apabila isu ini timbul.

“Saya telah memberikannya iaitu tidak merosakkan undi selain pilih calon bukan Islam yang memberi manfaat kepada Islam dan mengurangkan mudarat kepada Islam,” katanya pada sidang media di pejabat Badan Perhubungan Pas Negeri Johor, di sini, semalam, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata, ahli Pas di kawasan itu juga telah dipesan supaya membuat kajian menyeluruh dan terperinci terhadap calon yang bertanding kerusi Parlimen berkenaan berdasarkan rekod.

“Saya menggesa seluruh pengundi membuat kaedah sama seperti dibuat oleh ahli Pas dalam menentukan pilihan untuk diundi di Parlimen Iskandar Puteri.

“Sebagai umat Islam kita mempunyai satu pilihan iaitu berdasarkan kepada kepentingan Islam dan jangan buat undi rosak,” katanya.

Terdahulu, sebuah portal berita politik berkenaan mendakwa kononnya Sallehuddin beri galakan kepada ahli Pas untuk undi calon BN melalui petikan perbualan dalam sebuah grupWhatsApp selain menyentuh soal parti tersebut yang tidak meletakkan calon di Parlimen berkenaan.

Dalam pada itu, portal tersebut turut mendedahkan print scrint petikan perbualan berkenaan.

Petikan perbualan tersebut berbunyi, ‘Kalau ikut pendapat saya, Lim Kit Siang (LKS) tetap menang dan kita beri undi kepada Jason Teoh Sew Hock (Jason) untuk kurangkan undi kepada LKS. Pandangan saja.’

Turut tersebar petikan perbualan berbunyi,‘Semoga undi protes Cina kepada LKS menjadi realiti, ketahuilah undi ‘king maker’ Parlimen Iskandar Puteri berada di tangan kita dan kita benam si mulut celupar terhadap Islam di sini.’

Bagaimanapun, Sallehudin berkata, petikan perbualan pertama sebagaimana yang dilaporkan oleh portal tersebut bukan daripada beliau, sebaliknya daripada salah seorang ahli daripada grup WhatsApp berkenaan.

Namun, beliau mengakui petikan perbualan kedua itu adalah daripada beliau sendiri.

Pada PRU14 ini, Lim Kit Siang akan menentang calon BN, Jason Teoh Sew Hock secara satu lawan satu bagi merebut kerusi Parlimen Iskandar Puteri.

Manakala Sallehuddin pula akan berdepan saingan tiga penjuru menentang Khairi Abd Malik dari BN dan Dzulkefly Ahmad dari PKR bagi merebut kerusi Dun Kota Iskandar.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");