Panasnya Hari Ini

DAP panik, jelajah jelaskan guna logo PKR

KUALA LUMPUR 4 Mei – Panik menyebabkan DAP membuat jelajah ke seluruh negara untuk menjelaskan kepada penyokongnya yang tidak selesa apabila parti itu menggadaikan logo roket dan menggunakan logo PKR dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Mereka terpaksa berbuat demikian untuk memberi keyakinan terutama terhadap pengundi atas pagar berbangsa Cina bahawa undi PKR adalah bersamaan mengundi DAP.

Menurut bekas Setiausaha Publisiti DAP Selangor, Tan Tuan Tat, tindakan terdesak DAP itu adalah untuk meyakinkan pe­ngundi Cina yang kurang selesa susulan logo roket digugurkan semata-mata mahu memenangi hati rakyat berbilang kaum.

Jelasnya, tindakan DAP itu mengundang kegusaran dalam kalangan pengundi setia DAP yang beranggapan tindakan di luar kotak fikiran itu seolah-olah mempunyai kepentingan sendiri.

“Jelas pengundi Cina tidak boleh menerima tindakan tersebut, kerana itu jelas di setiap kempen yang dianjurkan mereka sanggup menabur janji palsu ko­nonnya undi PKR membawa maksud mengundi DAP.

“Pengguguran logo keramat roket turut menyebabkan bebe­rapa ahli DAP keluar parti kerana enggan menerima logo PKR dan menjalin kerjasama dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Baru-baru ini, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam ceramahnya secara terbuka merayu sokongan masyarakat Cina sambil menegaskan undi PKR adalah undi DAP.

Mengulas isu sama, bekas Peng­asas PKR, Ng Lum Yong memberitahu, ceramah anjuran gabungan pembangkang PKR khususnya daripada kaum Cina kurang mendapat sambutan eko­ran tindakan DAP bersetuju menggunakan logo PKR kali ini.

Tindakan itu jelasnya, me­nunjukkan DAP tidak mempunyai pendirian mempertahankan logo sendiri menyebabkan kaum Cina terutama ahli dan penyokong parti tersebut tidak selesa dengan tindakan itu.

“Strategi tersebut yang ko­nonnya bagi memperkukuhkan sokongan pengundi Cina jelas tidak mencapai sasaran apabila kempen yang dianjurkan kurang mendapat sambutan masyarakat Cina,” katanya.

Tambahnya, corak pemikiran pengundi Cina kali ini juga agak berbeza berbanding pilihan raya umum sebelum ini yang jelas menentang Barisan Nasional (BN).

“Mereka (pengundi Cina) turut membanjiri ceramah anjuran MCA bagi menilai hujah yang dilontarkan sekali gus melihat penyokong tegar DAP tidak lagi negatif terhadap BN seperti dahulu,” ujarnya.

Justeru, beliau menasihati rakyat agar membuat pertimba­ngan sewajarnya sebelum mengundi agar tidak mudah tertipu dengan ayat-ayat manis pembangkang.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (Kita) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong pula berkata, DAP melancarkan perang psikologi dalam usaha menyuntik keyakinan pengundi atas pagar berbangsa Cina terhadap parti itu ekoran tindakan mereka yang sanggup menggadaikan logo roket.

“Kempen 1 undi PKR bersamaan undi DAP merupakan usaha mereka untuk meraih sokongan pengundi. Penyokong tegar DAP sudah tentu penyokong tegar gabungan pembangkang. Jadi apa-apa logo yang mereka gunakan tidak menjadi masalah kepada penyokong tegar. Mereka sudah dimaklumkan oleh pemimpin partinya.

“Bagaimanapun, pengundi yang atas pagar inilah yang mereka (DAP) cuba mempengaruhi menerusi kempen dan sebagai­nya,” katanya.

-UTUSAN ONLINE

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");