Berita Hari Ini

SPR guna helikopter hantar peti undi

JERANTUT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggunakan perkhidmatan helikopter untuk membawa peti undi dari kawasan pedalaman Ulu Tembeling iaitu di Kampung Bantal, Mat Daling, Kuala Sat, Gusai dan Kampung Pagi kerana jarak perjalanan yang jauh.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Jerantut, Datuk Tengku Nur Asmaliza Ku Lah berkata, semua petugas pilihan raya di kawasan berkenaan sudah diberi taklimat dan mereka turut menyemak peralatan yang akan digunakan di pusat mengundi.

Beliau berkata, seramai 1,300 petugas SPR dan anggota polis kawasan Parlimen Jerantut membuat persiapan terakhir sebelum hari mengundi esok.

“Kita panggil semua petugas hari ini untuk memberi penerangan yang jelas supaya tidak ada masalah yang akan timbul pada hari esok.

“Mereka juga diminta menyemak peralatan dan segala kelengkapan yang diperlukan sebelum dibawa ke pusat mengundi bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar,” katanya ketika ditemui NSTP, di Dewan Majlis Daerah Jerantut (MDJ), di sini hari ini.

Beliau berkata, dianggarkan kira-kira 63,000 pengundi berdaftar di kawasan Parlimen Jerantut akan keluar mengundi di 54 pusat mengundi bagi memilih wakil rakyat di kerusi Parlimen dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Nur Asmaliza juga menasihatkan orang ramai agar keluar mengundi awal dan berharap proses pengundian berjalan lancar tanpa sebarang perkara yang tidak diingini.

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");