Berita Hari Ini

Adakah Rasis Untuk Nyatakan Kaum Dalam Iklan Sewa?

PETALING JAYA: Ramai melihat keputusan pilihan raya 9 Mei lalu sebagai petunjuk rakyat Malaysia sekurang-kurangnya menolak politik perkauman, tetapi persoalan kekal berkaitan perkauman dalam bidang kehidupan lain

Satu isu kekal muncul di media sosial ialah iklan sewa hartanah yang mengkhususkan bangsa penyewa berpotensi.

Ada yang menyokong keperluan itu. Antara hujah mereka ialah sensitiviti agama pemilik atau penyewa berpotensi perlu diambil kira.

Sebagai contoh, seorang tuan tanah mungkin tidak mahu makanan tidak halal dimasak dalam rumahnya atau penyewa mungkin menolak rumah yang mempunyai anjing.

Tetapi, pakar hartanah Ernest Cheong dan Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching membantah iklan itu dengan berkata, mereka memberi gambaran rakyat Malaysia bersifat perkauman.

Mereka berkata, tiada keperluan menyatakan kaum dalam iklan sewa kerana kedua-dua pihak sentiasa membincangkan sensitiviti secara bersemuka.

“Satu-satunya pertimbangan ialah kemampuan seseorang itu membayar sewa dan rekodnya sebagai penyewa,” kata Cheong, veteran dalam perniagaan hartanah lebih 40 tahun.

“Jika orang Melayu mahu sewa rumah saya, saya akan tanya jika beliau boleh terima saya pernah makan daging babi dalam rumah atau membela anjing sebelum ini.

“Jika beliau okey dengannya, soalan berikut ialah ‘Bolehkah anda membayar sewa yang saya minta?’ Ia sangat mudah.”

Katanya, kaum, agama atau jantina tidak patut menjadi asas pertimbangan, sekurang-kurangnya dalam iklan sewa.

Teo yang juga ahli DAP menyifatkan iklan sedemikian biadab.

“Tuan tanah boleh menyatakan dalam iklan, mereka mempunyai anjing di rumah atau dapur mereka mungkin tidak halal.

“Ada umat Islam yang merasakan okey menyentuh anjing, jadi kita tidak patut membuat terlalu banyak tanggapan.”

Seorang lagi ejen hartanah yang hanya mahu dikenali sebagai Harry mengakui kaum ialah keperluan bagi kebanyakan tuan tanah yang berdaftar dengannya, khasnya mereka yang menyewa hartanah RM3,000 dan ke bawah.

Katanya, beliau tidak selesa dengan keperluan itu dan perlu menyaring penyewa berpotensi berdasarkan kaum mereka, tetapi akan berbuat demikian untuk mengelakkan membazir masa tuan tanah.

“Kepada ejen, kaum tidak penting kerana setiap orang ialah pelanggan.

“Jika saya ada pelanggan yang tidak memenuhi keperluan kaum dinyatakan tuan tanah, tetapi saya tahu orang ini akan menjadi penyewa baik, saya akan mencadangkan beliau kepada tuan tanah, tetapi tidak akan mendesaknya.”

Harry berkata, penyewa India paling didiskriminasi, bukan hanya oleh kaum lain, tetapi juga tuan tanah India.

“Satu daripada sebab paling biasa diberikan tuan tanah ialah orang India boleh menjadi emosi atau mereka tidak akan menjadi penyewa baik kerana persepsi orang India adalah miskin.

“Tidak mudah menghalau seorang penyewa. Jadi, saya fikir sesetengah pemilik menggunakan profil kaum untuk mengurangkan risiko mereka, tetapi saya tidak bersetuju dengan cara itu.”

Katanya, tuan tanah yang baik akan menemubual penyewa berpotensi untuk mengetahui watak dan kemampuan mereka membayar sewa.

“Tetapi, bukan semua tuan tanah akan mengambil masa berbuat demikian. Jadi, mereka hanya beri keperluan bangsa kepada kami.

“Saya tidak tanya bangsa mereka apabila bercakap dengan penyewa berpotensi di telefon kerana orang akan tersinggung, tetapi saya cuba memenuhi keperluan tuan tanah dan membuat saringan berdasarkan nama dan loghat mereka.”-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");