Berita Hari Ini

Kementerian Pengangkutan Batal Kontrak RM800,000

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan membatalkan kontrak bernilai lebih RM800,000 yang diluluskan kerajaan terdahulu bagi program perkhidmatan penyampaian komunikasi kementerian.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata pegawai kementeriannya tidak begitu pasti mengenai tujuan sebenar peruntukan itu, namun difahamkan, salah satu skop kerja di bawah kontrak itu adalah membantu menteri menulis kolum dalam sebuah akhbar secara mingguan.

“Kontrak bernilai RM808,609.48 selama tujuh bulan ini diberikan kepada syarikat Pemandu Associates Sdn Bhd bermula Januari lalu.

“Kontrak ini memang sudah ada dalam peruntukan, namun setakat ini, masih belum ada bayaran dibuat. Saya arahkan supaya tidak ada pembayaran dibuat dan kontrak ini dibatalkan serta merta.

“Saya tidak perlukan agensi perhubungan awam untuk menaikkan imej dan kita tidak perlukan RM800,000 untuk membantu komunikasi menteri. Saya boleh berkomunikasi dengan media setiap hari melalui sidang akhbar,” katanya pada sidang media di sini, semalam lapor Berita Harian.

Siew Fook berkata, perkara itu jelas menunjukkan bahawa kerajaan terdahulu banyak membuat perbelanjaan yang disifatkan sebagai tidak perlu.

“Bayangkan, ini satu contoh hanya untuk tujuan perhubungan awam, antara kerjanya adalah menulis kolum secara mingguan selama tujuh bulan yang memakan belanja RM800,000.

“Skop lain saya tidak tahu sebab pegawai kementerian pun tidak tahu apakah skop kerjanya. Katanya, ini adalah untuk menteri,” katanya.

Pada sidang media itu, Siew Fook turut menerima sumbangan berjumlah RM2 juta untuk Tabung Harapan Malaysia daripada syarikat pemaju hartanah, Seri Pajam Development Sdn Bhd dan RM1,500 daripada sekumpulan pemandu teksi dari Cameron Highlands.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");