Perak Hari Ini

Sikap Tidak Peduli Punca Sampah Sarap Masih Dibuang Di Jalan Raya

IPOH: Sikap segelintir masyarakat setempat yang mengambil mudah dengan membuang sampah di tepi-tepi jalan di sekitar kawasan Medan Ipoh, dekat sini, menyebabkan berlakunya pencemaran di jalan raya.

Selain mencacatkan pemandangan, keadaan yang berlaku di kawasan itu juga menimbulkan rasa kurang senang terhadap pengguna-pengguna jalan raya berikutan bukan sahaja berbau busuk, malahan longgokan sampah juga menganggu pejalan-pejalan kaki.

Tinjauan Perak Today mendapati bukan setakat sampah daripada sisa-sisa makanan malah terdapat juga pihak yang sengaja melonggokkan perabot-perabot lama dan sampah binaan di bahu Jalan Medan Ipoh 1, dekat sini.

 

Menurut seorang pengguna jalan itu, Wong Kwai Heng, 50, berkata peniaga-peniaga di kawasan terbabit seharusnya mengambil berat soal penjagaan kebersihan kawasan persekitaran.

Jelasnya, hal ini disebabkan kawasan itu menjadi laluan orang ramai dan kenderaan-kenderaan awam selain keberadaan pelancong-pelancong asing yang sering menginap di hotel-hotel berhampiran.

“Saya melihat mereka di sini tidak mengambil peduli soal kebersihan. Walau bagaimanapun, pada masa sama, ada pihak-pihak yang bukan daripada kawasan ini sengaja mengambil kesempatan dengan melonggokkan sampah mereka.

“Ini kerana mungkin mereka melihat kawasan itu sudah menjadi seolah-olah kawasan pembuangan sampah, maka pun melakukan perkara yang sama. Sikap seperti ini harus diubah,” katanya.

Situasi hampir yang sama berlaku di Jalan Persiaran Halaman Ampang, yang berhampiran dengan Taman Ampang, Taman Pelangi dan Halaman Ampang Mewah.

Salah seorang penduduk setempat, Mohd Anwar Basri, 36 berkata masalah sedemikian kebiasaanya dilakukan oleh segelintir individu tetapi secara berulang-ulang kali.

Ujarnya apa yang lebih dikesali ialah terdapat individu yang dengan tidak ada rasa bersalah, mencampakkan sampah yang dibawa dengan menaiki motosikal.

“Jalan ini merupakan antara laluan yang kerap digunakan. Jika masalah ini masih berterusan, ia sedikit sebanyak bakal memberi pandangan negatif kepada orang luar terhadap penduduk setempat.

“Tidak dinafikan juga ada kalanya sampah-sampah yang dibuang di tepi jalan ini meninggalkan bau busuk kepada rumah sekitar khususnya apabila sampah terlalu banyak dan berlaku hujan,” katanya.

Tinjauan Perak Today bagi kedua-dua kawasan persekitaran tersebut terdapat tong sampah yang disediakan namun ianya diletakkan di tempat lain.

Mungkin pihak berkuasa tempatan khususnya Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) boleh memperbanyakkan lagi tong sampah bagi membendung masalah sampah tersebut dari terus berlaku.

Selain itu, MBI juga mungkin boleh menguatkuasakan lagi undang-undang yang sedia ada kepada pihak yang tidak mengambil kisah soal kebersihan di tempat-tempah awam.

Pada masa sama, masyarakat setempat juga harus bekerjasama dengan memastikan sampah-sampah di uruskan dengan baik supaya tidak mencemarkan kawasan persekitaran kediaman mereka sendiri.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");