Perak Hari Ini

Pendidikan Baik, Untuk Masa Depan Lebih Cerah – Ahmad Faizal

IPOH: Dalam mendepani masa depan yang mencabar, soal pendidikan yang baik merupakan perkara terpenting, kata Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu.

Ujarnya, soal kepentingan pendidikan juga selaras dengan ajaran agama Islam sebagaimana dapat dilihat pada surah pertama di dalam Al-Quran, yang menyeru manusia untuk mencari ilmu.

Selain itu, Ahmad Faizal berkata, pendidikan mampu menjadi satu instrumen yang mampu membentuk kebolehan, kekuatan, dan kehidupan seseorang.

“Ini menunjukkan pendidikan mampu mengubah kehidupan seseorang. Dengan pendidikan, kita mampu menghasilkan pemimpin yang terbaik pada masa hadapan.

“Dunia sedang mengalami perubahan drastik yang kini memasuki ke alam Revolusi Industri 4.0 dan Objek Rangkaian Internet (Internet of Things- IOT).


“Kita perlu mula memikirkan tentang mewujudkan nilai yang mampu mendorong ke arah memberi impak yang positif kepada komuniti dan masyarakat secara keseluruhannya,” katanya.

Tambah Ahmad Faizal, masyarakat juga kini harus pantas dalam menyesuaikan diri mereka dengan persekitaran baharu, berdasarkan perspektif dan ajaran Islam.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Penutup Persidangan Dunia Pemikiran dan Tamadun Islam (WCIT) 2018 di Pusat Konvensyen Amanjaya, Meru Raya, dekat sini, pada Rabu.


Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan,Sains,Alam Sekitar,Teknologi Hijau dan Penerangan, Dr Abdul Aziz Bari.

Yang turut hadir pada majlis, Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Prof Tan Sri Dr Nordin Kardi.

Pada masa sama, Menteri Besar turut menjunjung kasih titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah semasa Baginda berkenan berangkat merasmikan WCIT2018, semalam.

Katanya, Sultan Perak telah memberikan mesej dan harapan yang jelas, supaya satu tindakan yang konstruktif dapat dilaksanakan dalam merealisasikan impian “masa depan milik kita”.


“Baginda Tuanku Sultan mengingatkan kita bahawa masa depan merupakan tanggungjawab yang kolektif dan jika kita mula memainkan peranan itu sekarang, kesan positifnya dapat dinikmati pada masa hadapan, di dunia serta di alam akhirat,” katanya.

Acara anjuran USAS yang memasuki siri kelima pada tahun ini itu dihadiri lebih 20 orang speaker dari dalam dan luar negara, selain meliputi pelbagai bidang antaranya ekonomi, seni, budaya dan agama.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");