Sukan Hari Ini

Perak Sasar Menang 2 Baki Aksi

KUALA LUMPUR: Kemenangan 5-1 Perak ke atas Kuala Lumpur (KL) menyaksikan laluan mereka untuk ke pusingan kedua kelayakan Liga Juara Juara Asia (ACL) musim depan kian terbuka luas.

Berkelebihan tiga mata mengatasi pencabar terdekat, PKNS FC ketika saingan berbaki dua perlawanan lagi, skuad The Bos Gaurus itu bakal beraksi di pusingan kelayakan itu dengan tiket selaku naib juara Liga Super musim ini.

Namun, ia bergantung kepada keputusan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) sama ada akan mengemukakan rayuan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memandangkan mereka masih boleh beraksi ke pusingan kelayakan itu dengan slot juara Piala FA.

Jika Pahang dibenarkan bertanding meskipun sudah dikenakan penggantungan dua tahun daripada memohon lesen Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), sudah tentu situasi ini bakal menghadiahkan kekecewaan yang besar kepada Perak yang begitu bersungguh-sungguh ‘mengejar’ kedudukan kedua liga musim ini.

Bagaimanapun, pengendali Perak, Mehmet Durakovic enggan memikirkan mengenai perkara terbabit sebaliknya bersedia untuk menerima apa sahaja kebarangkalian yang boleh berlaku.

“Apa yang akan berlaku tetap akan berlaku. Sebagai jurulatih, saya hanya mahu pemain saya memperagakan corak permainan yang bagus dan memenangi setiap perlawanan.

“Apa yang berlaku dengan pasukan terbabit (Pahang), ia adalah keputusan negeri dan bukan keputusan kami. Jadi kami cuma perlu mengekalkan konsentrasi dan memenangi baki dua perlawanan lagi,” katanya pada sidang media selepas perlawanan, semalam, sebagaimana dilaporkan BH Online.

Mengulas lanjut mengenai kemenangan besar anak buahnya, bekas jurulatih Selangor itu menyifatkan anak buahnya membuktikan betapa mereka berada dalam kelas tersendiri.

“Kami tahu KL akan memberi tentangan yang sengit kerana mereka juga memerlukan kemenangan untuk terus kekal dalam Liga Super.

“Perancangan berjalan lancar dan setiap peluang tidak disia-siakan. Sudah tentu saya gembira dengan kemenangan ini memandangkan kami berjaya meraih mata penuh di tempat lawan,” katanya.

Pada aksi di Stadium Bolasepak KL, Cheras itu, Perak mudah mendahului dengan dua gol hanya selepas 10 minit perlawanan menerusi jaringan Gilmar dan sepakan penalti Wander Luiz.

Mereka terus garang apabila meledak dua lagi gol menerusi Nor Hakim Hassan dan Nazrin Nawi untuk berkelebihan 4-0 pada babak pertama sebelum menambah satu lagi gol juga menerusi sepakan penalti di hujung permainan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");