Khim Wen merangkul pingat gangsa dalam acara poomsae taekwondo individu wanita selepas tewas kepada Salahshouri Marjan dari Iran di peringkat separuh akhir.

Anak kelahiran Selangor berusia 24 tahun ini mengutip 8.30 mata sementara Marjan 8.43 mata untuk berdepan peserta tuan rumah Defia Rosmaniar di peringkat akhir.

Bagaimanapun, keputusan itu menyaksikan kem taekwondo negara menamatkan kemarau 16-tahun tanpa sebarang pingat di Sukan Asia sejak Lee Pei Fen dan Lee Wan Yuen masing-masing memenangi satu gangsa dalam acara kyorugi wanita pada edisi 2002 di Busan, Korea Selatan.

Bercakap kepada pemberita selepas pusingan separuh akhir yang berlangsung di Pusat Konvensyen  Jakarta (JCC), beliau mengakui terpaksa melupakan kecederaan di lutut kanan dan pergelangan kaki kiri untuk memberi fokus sepenuhnya dalam meraih pingat untuk negara.

Mengenai pencapaiannya itu, Kim Wen berkata, “Setakat ini, ini adalah pencapaian terbaik dalam karier saya dan berbaloi dengan masa yang diberikan setelah saya memutus menangguhkan pengajian saya buat sementara sejak awal Mei semata-mata untuk Sukan Asia.

“Selepas ini saya akan meneruskan pengajian dan berehat, memulihkan kecederaan, seterusnya berharap dapat menyertai lebih banyak pertandingan kelak,” katanya.

Terdahulu, Khim Wen dengan mudah menumpaskan Huda Akbar dari Bahrain selepas mengatasi pemain China, Ji Yuhan pada suku akhir.- Bernama