Berita Hari Ini

75% Restoran Di Bawah GST Tak Dikenakan SST

PUTRAJAYA – Sebanyak 75 peratus daripada kedai dan restoran di bawah cukai barang dan perkhidmatan (GST) tidak akan dikenakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) selepas nilai ambang cukai itu dinaikkan kepada RM1.5 juta berbanding RM500,000 sebelum ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, bekas Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat buat-buat tidak tahu bahawa cukai perkhidmatan enam peratus memang dikenakan di bawah SST sama seperti GST.

Katanya, Najib secara berterusan merungut terpaksa membayar cukai perkhidmatan enam peratus untuk minuman dan makanan di restoran dan kedai kopi walaupun beliau bukan seorang pengilang.

“Najib tidak harus berpura-pura tidak tahu akan perkara ini kerana beliau menjadi menteri kewangan sejak 2008, sebelum pelaksanaan GST pada 1 April 2015, di mana SST enam peratus juga dikenakan sebagai cukai perkhidmatan untuk kedai kopi dan restoran.

“Perbezaannya ialah di bawah pelaksanaan SST, cuma restoran yang mempunyai pendapatan melebihi nilai ambang RM1.5 juta setahun sahaja dikenakan cukai perkhidmatan enam peratus kepada pengguna. Nilai ambang ini adalah tiga kali ganda lebih tinggi berbanding GST yang sebelum ini dikenakan kepada pengguna daripada restoran yang mempunyai pendapatan melebihi RM500,000 setahun,” katanya dalam satu kenyataan, sebagaimana dilaporkan Sinar Online.

Semalam, menerusi satu hantaran di Facebook, Najib membalas komen Guan Eng mengenai isu kuih pau dikenakan SST.

Katanya, Guan Eng menyatakan cukai SST enam peratus bagi pau yang dibeli Najib sama seperti enam peratus yang dikenakan ketika pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Beliau mempersoalkan, sekiranya sistem kutipan cukai sekarang sama seperti sebelum ini, mengapa GST ditukar dengan SST sedangkan harga barang tidak turun.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, nilai ambang yang diperkenalkan kerajaan membuktikan hanya 4,372 restoran yang mendaftarkan perniagaan mereka di bawah SST berbanding 17,574 restoran di bawah GST iaitu empat kali ganda lebih besar di bawah cukai itu.

“Bukankah kesan SST jauh lebih kurang daripada GST apabila hanya 25 peratus daripada restoran dan kedai kopi terkesan di bawah SST berbanding dengan GST?” soalnya.

Tambahnya, SST juga menyaksikan pengguna dapat menikmati harga kereta yang lebih rendah apabila sekurang-kurangnya lima jenama kereta iaitu Perodua, Honda, Toyota, Volkswagen dan BMW lebih murah berbanding dengan GST antara RM2,000 hingga RM3,000.

Dalam pada itu beliau turut menyatakan, pihaknya akan bertemu dengan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) bagi membincangkan sama ada boleh mengikut jejak langkah persatuan itu di Pulau Pinang yang mengurangkan harga rumah sebanyak 10 peratus bagi rumah berharga lebih RM300,000 dan enam peratus untuk rumah mampu milik di bawah RM300,000.

“Kerajaan juga memberikan pengecualian SST terhadap bahan dan perkhidmatan binaan berlainan dengan GST yang mengenakan enam peratus. Ini telah disambut baik oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Pulau Pinang yang bersedia menurunkan harga rumah sehingga 10 peratus untuk rumah melebihi RM300,000, manakala diskaun enam peratus dikenakan bagi rumah mampu milik yang berharga RM300,000.

“Kementerian Kewangan dengan kerjasama pihak Jabatan Kastam DiRaja Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sentiasa menjalankan kempen anti pencatutan kerana memang ada peniaga yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harga dengan sewenang-sewenangnya dan kerajaan meminta kerjasama daripada orang awam untuk memberikan maklumat tentang kenaikan harga barang yang tidak munasabah,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");