Berita Hari Ini

Orang Asli Halang Roboh Sekatan

GUA MUSANG: Seramai 10 penduduk Orang Asli bertindak ‘berani mati’ dengan duduk di atas pagar ketika mempertahankan sekatan laluan balak di Kampung Kaleeg, Pos Tohoi, di sini, daripada dirobohkan, semalam.

Mereka bertindak demikian apabila 10 pekerja ladang durian musang king menyerbu dan cuba merobohkan sekatan terbabit selepas dihalang melalui sekatan berkenaan.

Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan, Mustafa Along, berkata kejadian itu berlaku pada jam 3.20 petang ketika 20 penduduk Orang Asli berkumpul di sekatan itu.

Katanya, sebaik melihat 10 pekerja ladang itu mengikat dawai di sekatan berkenaan untuk dirobohkan, dengan cepat mereka bertindak memanjat pagar itu.

Katanya, pekerja ladang bertindak untuk merobohkan sekatan selepas kenderaan mereka gagal melalui kawasan itu.

Bagaimanapun, katanya, usaha pekerja ladang untuk meroboh sekatan itu gagal dan mereka berpatah balik setengah jam kemudian selepas Orang Asli membuat halangan.

“Memang Orang Asli sudah membuat keputusan mempertahankan sekatan yang baru siap dibina semula pada minggu lalu dan sanggup bergadai nyawa jika ada pihak cuba merobohnya semula,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini, lapor BH Online.

Mustafa berkata, selepas operasi meroboh sekatan dilakukan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri, lebih sebulan lalu, Orang Asli membina satu lagi sekatan.

“Setakat ini sudah lima kali sekatan laluan balak itu dirobohkan pihak tertentu,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");