Panasnya Hari Ini

PAS Akui Abai Media Sosial

KUALA NERUS: Kegagalan menguasai media sosial dan kelemahan penyampaian mesej kepada bukan Islam, adalah antara kekurangan dikenal pasti PAS dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, berkata parti itu juga kurang memberi tumpuan terhadap gerakan pendaftaran pengundi muda dan keperluan golongan itu berbanding parti lawan lain.

Menyifatkan pertarungan 9 Mei itu ibarat berjuang di gelanggang tidak sama rata menentang Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan, beliau mahu kelemahan itu segera diatasi ke arah memperkemaskan persediaan jangka panjang PAS.

“Dalam serba kekurangan, PAS menempa pencapaian baik menerusi pertambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mengekalkan Kelantan.

“PAS turut menawan semula Terengganu, hampir menguasai Kedah dan menambah kerusi di Pahang.

“Sokongan pengundi teras dan pengundi atas pagar turut bertambah menerusi peningkatan sekali ganda keseluruhan undi yang diterima melebihi 2.04 juta, atau 18 peratus undi popular,” katanya, sebagaimana dilaporkan BH Online.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar bertema ‘Islam Memimpin’ sempena perasmian Muktamar PAS ke-64 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu di sini, hari ini.

Selain barisan pimpinan tertinggi PAS seperti Mursyidul Am, Hashim Jasin; dan Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, majlis perasmian muktamar kali ini mencatat sejarah apabila turut dihadiri Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Hadi berkata, PAS menghormati keputusan rakyat dan komited bersama semua pihak ke arah membentuk budaya politik baharu dengan penuh hikmah.

“PAS akan terus membetulkan apa yang salah dan menambah baik apa yang betul,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");