Panasnya Hari Ini

PAU 2018: Pas Pertimbang Hantar Wakil

KUALA LUMPUR – Sokongan antara dua parti Pas dan Umno dilihat semakin ‘menarik’ apabila Pas bakal mempertimbangkan untuk menghantar wakilnya selaku pemerhati pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2018 hujung bulan ini.

Sinar Online, yang memetik laporan Malaysiakini, melaporkan Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, walaupun masih belum menerima sebarang jemputan daripada Umno berhubung perkara itu, pihaknya akan tetap mempertimbangkan untuk menghantar wakil menghadiri perhimpunan berkenaan.

Menurutnya, sekiranya dijemput (secara rasmi) pihaknya akan membuat mesyuarat dan akan mempertimbangkan wakil ke PAU 2018.

“Hingga setakat ni kita tak terima surat jemputan lagi. Kalau dijemput, parti akan buat mesyuarat, kita akan pertimbang (untuk menghantar wakil Pas).

“Untuk kita, kemungkinan Pas akan hantar wakil untuk hadir perhimpunan Agung Umno,” katanya kepada pemberita selepas majlis perbincangan antara Pas dan paderi Kristian di Hotel De Palma, Ampang, hari ini.

PAU 2018 dijadual berlangsung pada 29 dan 30 September ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Sementara itu, Ketua Penerangan Pas Pusat Nasrudin Hassan pula berkata parti mereka tidak menolak kemungkinan untuk menjemput Umno dalam muktamar mereka 14 September ini di Terengganu.

Menurutnya, dalam muktamar itu juga Pas akan membincangkan soal kerjasama antara kedua-dua parti itu dalam muktamar mereka.

“Boleh jadi (jemput) sebab sebelum ni Pas pernah panggil kepimpinan parti lain. Parti yang tak ada ikatannya.

“Pas terbuka terima pandangan ahli dan kita buat keputusan pandangan yang betul dan keputusan berdasarkan kebenaran dan hujah kerana kita tak nak keputusan itu bersifat sentimen mentah jadi kalau berbangkit, muktamar gembira boleh djadikan sayu dan perbahasan tak dapat solusi,” katanya.

Nasrudin berkata, akar umbi Pas tidak mempunyai masalah terhadap kerjasama itu memandangkan ia ‘usaha menyatukan umat Islam’.

“Akar umbi tak ada masalah, ia usaha menyatukan umat Islam dan usaha murni ini dilakukan.

“Kita tak nak nanti bangsa Melayu khasnya umat Islam terus bertelagah kerana perbezaan parti, jadi sesama kita boleh hormat menghormati,” katanya.

Pada 18 Julai lalu, Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, Umno dan Pas akan menjalin kerjasama sekiranya terdapat isu-isu yang boleh dibincangkan bersama.

Pada 13 Ogos lalu, Umno memberi laluan kepada Pas meletakkan calon di kerusi Dun Seri Setia pada PRK kawasan itu nanti.

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata keputusan itu dibuat sebagai membalas budi Pas di PRK Dun Sungai Kandis.

Semalam, Pas menegaskan kerjasama dengan Umno sekadar tertumpu perkara-perkara tertentu demi mempertahankan kepentingan agama dan rakyat di negara ini.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohammad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, hubungan kedua-dua parti berkenaan hanyalah dalam konteks menentang sebarang kemungkaran dilakukan kerajaan baharu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");