Jenayah

SST: Premis Naik Harga Tak Munasabah Terima Notis

KUANTAN – Dua premis perniagaan di sini menjadi antara premis pertama dikenakan tindakan notis kerana menaikkan harga secara tidak munasabah selepas pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang bermula hari ini.

Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang Datuk Mark Ujin berkata premis berkenaan, sebuah kedai kasut dan kafe didapati melakukan kesalahan itu pada Operasi Catut 5.0 hari ini, di sebuah pusat beli-belah di sini.

“Kami telah menyerahkan notis meminta penjelasan kepada pihak premis berkenaan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 yang perlu dikemukakan dalam tempoh 10 hari,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia Pahang di sini hari ini, sebagaimana dilaporkan Sinar Online.

Katanya orang ramai boleh menyalurkan maklumat jika ada peniaga yang menaikkan harga secara keterlaluan dengan menyimpan resit pembelian sebagai bukti selain memudahkan mereka untuk membuat perbandingan harga.

Mark menambah pengguna yang ingin membuat aduan boleh menghubungi talian 09-5717777 yang beroperasi dari pukul 10 pagi sehingga 8 malam.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan pelaksanaan SST berkuat kuasa 1 September, susulan Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Jualan 2018 dan RUU Perkhidmatan 2018 diluluskan Parlimen pada 20 Ogos lepas. Pengenalan semula SST adalah untuk menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dimansuhkan pada 1 Jun lepas.

Sementara itu, sebanyak 23 premis sekitar ibu negara diperiksa dalam operasi bersepadu Ops Catut 5.0, KPDNHEP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, hari ini.

Pengarah Pejabat KPDNHEP WPKL Ummi Nasrah Othman berkata operasi pemeriksaan itu adalah fasa kedua yang membabitkan pemantauan di semua peringkat merangkumi sektor pengilangan, pengedaran, pemborong dan peruncit.

“Antara premis yang diperiksa termasuklah kilang memproses makanan dan minuman, pusat servis kenderaan, kedai barangan elektrik dan restoran. Sehingga semalam (31 Ogos), KPDNHEP WPKL sudah memeriksa 389 premis perniagaan runcit yang membabitkan 10,648 item bagi 11 kategori barangan dan perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata operasi itu akan dilaksanakan secara berterusan untuk memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan memanipulasi harga barangan dan perkhidmatan.

Pejabat KPDNHEP Pulau Pinang telah menjalankan pemantauan harga melibatkan 7,540 barangan bagi mendapatkan kadar harga sebelum dan selepas pelaksanaan SST.

Pengarahnya Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata pemantauan itu bukan sahaja dibuat di peringkat peruncit malah kepada pemborong serta pengedar membabitkan 256 premis di seluruh Pulau Pinang.

“Penguat kuasa kami telah mengadakan pemantauan serta operasi dari semasa ke semasa sejak GST dikenakan kadar sifar peratus dan ia akan berterusan. Kami juga akan memastikan mereka (pemborong, pengedar dan peruncit) tidak memanipulasi atau menaikkan harga barangan serta tidak menyalahi peraturan dan akta yang telah ditetapkan KPDNHEP,” katanya.

Pejabat KPDNHEP Melaka pula menggerakkan seramai 71 anggota untuk membuat pemantauan harga barangan dan perkhidmatan di semua premis perniagaan di negeri itu.

Pengarahnya Jaiya Abu berkata skuad pemantauan yang dianggotai 55 anggota sokongan dan 16 pegawai itu akan melakukan pemantauan secara berkala bagi mengesan peniaga yang menaikkan harga barang dan perkhidmatan.

“Kita juga mempunyai 25 pegawai pemantau harga yang akan berada di lapangan setiap hari bagi melakukan pemantauan dan pemeriksaan secara harian, mingguan dan bulanan. Kita juga membuka bilik gerakan untuk pengguna membuat aduan atau mendapatkan maklumat berkaitan SST yang akan dibuka setiap hari termasuk Sabtu dan Ahad serta cuti umum di pejabat KPDNHEP Melaka,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");