Perak Hari Ini

Sukma 2018: Terengganu Kontinjen Terbaik, Perak Berjaya Tempat Kelima

IPOH: Kontinjen Terengganu dinobatkan sebagai juara keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 dalam majlis penutup sukan dwitahunan itu di Stadium Perak, di sini, malam tadi.

Dalam kesemua 29 acara yang berlangsung selama 11 hari di seluruh Perak, Terengganu berjaya merangkul 56 emas 51 perak dan 53 gangsa.

Kontinjen tuan rumah, yang berjaya mempertahankan ibu segala pingat emas tiga kali berturut-turut baru-baru ini, pula berjaya menempatkan diri di tangga kelima, dengan 37 pungutan pingat emas, 50 perak, dan 55 gangsa.

Dalam majlis tersebut, turut disampaikan anugerah atlet lelaki terbaik kepada atlet memanah Sabah, Eugenius Lo Foh Soon dan atlet wanita terbaik pula disandang atlet olahraga Terengganu, Azreen Nabila Alias

Selain itu, dalam majlis yang disaksikan lebih daripada 20,000 orang penonton itu juga disampaikan anugerah-anugerah Penulis Sukan Malaysia (SAM).

Anugerah laporan sukan terbaik media cetak jatuh kepada media Sin Chew Daily menerusi artikel berkenaan Majlis Pembukaan Sukma Perak 2018, anugerah laporan sukan terbaik (media elektronik) pula menjadi milik media TV3.

Acara penyampaian kesemua anugerah tersebut disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail diringi Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; serta Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu.

Majlis penutup temasya sukan edisi ke-19 yang berlangsung dengan gilang-gemilang itu dimulakan dengan lintasan hormat kesemua 15 kontinjen yang bertanding.

Ia dimulakan dengan kontinjen Sarawak, kemudian ia diikuti dengan Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Selangor, Terengganu, Wilayah Persekutuan, Johor, Negara Brunei dan akhir sekali kontinjen Perak.

Selepas berlangsungnya acara penyerahan anugerah kepada atlet dan kontinjen terbaik, Menteri Besar Perak mengambil tempat untuk menyampaikan ucapan aluan dan diikuti dengan ucapan penutup oleh Timbalan Perdana Menteri.

Kemudiannya, berlangsung pula upacara menurunkan bendera oleh 10 orang anggota Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) dan pemadaman obor Sukma Perak 2018.

Tiga atlet negeri Perak, yang diketuai jaguh menembak negara, Ahmad Khusyairi Abdul Razak, kemudiannya membawa masuk obor kejohanan Sukma Perak 2018 ke hadapan pentas utama.

Ia kemudian diserahkan kepada Menteri Besar Perak untuk menyempurnakan acara penyerahan bendera dan obor kepada Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian sebagai simbolik ‘penyerahan’ pengajuran Sukma kepada Johor pada tahun 2020.

Majlis penutup kemudiannya dimeriahkan dengan persembahan nyanyian yang cukup memukau disampaikan penyanyi-penyanyi tersohor tanah air, Datuk Awie dan Datuk Jamal Abdillah.

Seterusnya, persembahan kebudayaan negeri mengambil tempat dan ia turut disertai beberapa para atlet yang dijemput untuk turun ke tengah-tengah padang.

Kemuncak acara Majlis Penutupan Sukma Perak 2018 diserikan dengan persembahan bunga api muzikal yang berlangsung sekitar 3 minit.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");