Perak Hari Ini

Kerajaan Negeri Galak Pengusaha Pelancongan Promosi Produk Di Platform Digital

IPOH: Kerajaan Perak mengalakkan pengusaha-pengusaha pelancongan negeri mempromosikan produk mereka menerusi platform digital seperti yang disediakan syarikat Lokalocal.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Tan Kar Hing berkata dalam dunia pendigitalan masa kini, perkara tersebut harus dilakukan bagi usaha ke arah melonjakkan industri pelancongan negeri selain mampu mengetengahkan segala produk pelancongan yang masih belum diketahui umum.

Katanya lagi, platform digital tersebut juga penting kerana mampu menjadi rujukan kepada para pelancong sebelum datang berkunjung ke mana-mana destinasi pilihan mereka.

“Lokalocal ini adalah inisiatif yang mampu mempromosikan produk pelancongan, pengalaman pelancongan serta pemberi maklumat pelancongan.

“Tempat-tempat yang mungkin belum popular tetapi ada keunikan dari segi budaya dan keseniannya boleh dipromosikan di medium tersebut. Itu kelebihannya,” katanya.

Ujar Kar Hing, selepas pelancaran di Kuala Kangsar minggu lalu, kerajaan negeri bercadang akan memperluaskan ia ke daerah lain seperti di Ipoh, Taiping dan Teluk Intan, selepas sebulan.

Difahamkan ia masih lagi berada pada tahap projek perintis.

Selain itu, jelas Kar Hing, salah satu kelebihan platform digital tersebut ialah para pengusaha tidak perlu mengeluarkan sejumlah wang bagi tujuan promosi produk mereka di situ.

“Mereka akan membantu pengusaha pelancongan kita untuk mempromosikan produk mereka menerusi pembikinan video, gambar-gambar serta penulisan artikel,” katanya dalam satu sidang media bersempena lawatan kerjanya ke Buntong, di sini, hari ini.

Dalam sidang media tersebut, beliau turut mengumumkan pembinaan pintu gerbang di Bandar Buntong sebagai pengiktirafan kerajaan negeri terhadap produk pelancongan, kacang putih, di situ.

Menelan kos sebanyak RM50,000, ia dijangka siap dalam tempoh enam bulan bermula hari ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");