Perak Hari Ini

Perak Cadang Wujud Lapangan Terbang Antarabangsa Di Behrang

KUALA KANGSAR: Kerajaan Perak bakal mengusulkan cadangan bagi pembinaan sebuah lapangan terbang antarabangsa yang baharu sama ada di kawasan Tapah atau Behrang.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, di peringkat awal Behrang dirasakan kawasan yang paling sesuai kerana jarak antara Bandaraya Kuala Lumpur dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang adalah sama dengan di Behrang.

Katanya lagi, jarak yang sama antara kedua-dua kawasan tersebut dengan Ibu Negara, bakal memudahkan mana-mana kapal terbang untuk mendarat di Sepang dan Behrang pada jangka masa yang sama.

Tambahnya lagi, Behrang merupakan kawasan yang sesuai untuk dibangunkan sebuah lapangan terbang berikutan terdapatnya kemudahan jalan dan akses ke lebuh raya yang baik berbanding di Seri Iskandar.

“Kerajaan pimpinan Pakatan Harapan di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad sangat mengamalkan dasar penjimatan. Ini kerana kerajaan kini sedang giat membayar hutang-hutang yang sedia ada.

“Untuk projek pembangunan infra beliau sangat berjimat, kecuali ianya merupakan projek yang sangat diperlukan.

“Disebabkan itu kita pilih di Behrang. Kerana jika di Seri Iskandar, kita terpaksa membuat jalan yang baharu yang kemudiannya akan memakan kos,” katanya.

Selain itu, kata Ahmad Faizal, cadangan tersebut telah pun diusulkan dalam satu mesyuarat di Kuala Lumpur baru-baru ini yang dipengerusikan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin.

Tambahnya, lapangan terbang tersebut turut bakal dilengkapi dengan kemudahan kargo udara dan hub bagi aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Dewan Seri Mercu Jalan Sultan Iskandar Shah, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Menteri Besar turut mengumumkan bakal melaksanakan projek pembesaran Lumut Port pada masa hadapan, yang juga sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri dalam mewujudkan projek-projek yang mampu memberi impak kepada rakyat amnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");