Perak Hari Ini

Pusat Akuatik Tuanku Zara Dijangka Buka Pada Umum Bulan Ini

IPOH: Kerajaan Perak memberi bayangan bahawa Pusat Akuatik Tuanku Zara, di sini, dijangka dibuka kepada orang awam pada pra-pembukaanya dalam bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How berkata, pihaknya menafikan dakwaan yang mengatakan bahawa pusat akuatik tersebut bakal dibuka pada Januari tahun hadapan.

Dikatakan tular di beberapa halaman sosial Facebook yang mendakwa pembukaan Pusat Akuatik Tuanku Zara yang sepatutnya dijadulkan hari ini terpaksa ditangguhkan kerana harus memberi ruang kepada penganjuran kejohanan Para Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018.

“Saya boleh umumkan Para Sukma akan diadakan pada 21 sehingga 28 November dan saya juga boleh pastikan yang ia akan dibuka sebelum penganjuran temasya sukan itu, sekiranya segala proses untuk bulan ini berjalan lancar.

“Para Sukma tetap dijalankan. Kini kita sedang mengambil kira tentang proses penilaian risiko untuk orang awam, penentuan harga masuk baharu dan cara pengutipan tiket. Itu yang menyebabkan ia terpaksa dibuka lewat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, pihaknya juga turut dimaklumkan bahawa Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan mencemar duli bagi merasmikan pusat akuatik tersebut dan ianya dijadual diadakan selepas penganjuran Para Sukma Perak 2018.

Selain itu, ujar Howard, satu keputusan berkenaan harga tiket dan segala penyelesaian berkaitan isu-isu teknikal akan diketahui dalam satu mesyuarat pada Khamis ini.

Katanya lagi, mesyuarat tersebut bakal dihadiri wakil Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), wakil Pejabat Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, negeri serta wakil pejabatnya.

Menyentuh tentang penetapan harga kemasukan yang baharu, Howard menjelaskan ia harus diambil kira memandangkan Pusat Akuatik Tuanku Zara telah dinaik taraf selain mempunyai enam kolam renang bertaraf antarabangsa.

Untuk tambahan, pusat akuatik tersebut telah berjaya siap dinaik taraf pada Februari lalu dan ianya menelan kos sebanyak RM45 juta.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");