Perak Hari Ini

Hab Belia Bakal Wujud Di Manjung, Hilir Perak, Kinta, Taiping

IPOH: Kerajaan Negeri, menerusi Pusat Aspirasi Anak Perak ataupun PASAK bercadang mewujudkan hab belia di daerah Manjung, Hilir Perak, Kinta dan Taiping, menjelang tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How berkata, dalam jangka masa panjang, PASAK juga bakal membangunkan hab-hab belia di semua daerah di Perak.

Katanya, hab tersebut akan berfungsi sebagai pusat aktiviti dan kesenian belia, pusat sumber maklumat, tempat beriadah, pusat kebajikan belia serta pusat setempat untuk warga belia mencari peluang-peluang kerjaya.

Dalam pada itu ujarnya, PASAK turut merangka beberapa inisiatif bermula pada tahun hadapan yang antaranya, merancang mewujudkan Majlis Sukan Elektronik Negeri, Jaringan Sukarelawan negeri, Jaringan Anak Perak luar Perak, Persidangan Belia, Akademi Rakyat (AKADEMOS), Program Mentor Usahawan dan lain-lain.

“Hab Belia Perak akan merangkumi pelbagai program yang akan dilaksanakan oleh persatuan-persatuan di daerah berkenaan dan memberi peluang kepada belia menegahkan bakat kepimpinan dan kemahiran mereka demi pembangunan belia secara kondusif yang akan menguntungkan masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Jenny Choy Tsi Jen (Pakatan Harapan – Canning) dalam Sidang Ketiga, Mesyuarat Ketiga, Penggal Pertama Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Salbiah Mohamed (Barisan Nasional – Temenggor) bangun melontarkan soalan tambahan dan cadangan kepada kerajaan negeri supaya memperkasakan Home Of Silveryouth (HOS) di Kinta Riverfront terlebih dahulu sebelum mewujudkan hab belia yang lain.

Howard kemudiannya menjawab bahawa kerajaan negeri di bawah kepimpinan baharu telah pun menggerakkan usaha sedemikian sebaik memegang tampuk pemerintahan negeri.

“Dalam enam bulan, sebelum peralihan kuasa, ia tidak digunakan dan diperkasakan oleh pentadbiran dahulu.

“Tetapi, selepas peralihan kuasa berlaku, kerajaan negeri di bawah portfolio saya dan anggota PASAK telah mengadakan program di HOS termasuk program antara portfolio seperti program Hari Kebangsaan negeri, Sama-Sama.

“Setiap perbincangan dan program melibatkan belia, pemain industri dan program e-sukan turut kita adakan di situ,” katanya.

Datuk Shahrul Zaman Yahya (Barisan Nasional – Rungkup) kemudiannya bangun menyanggah kenyataan Howard yang mengatakan pentadbiran terdahulu tidak memperkasakan HOS.

Jawab Howard, dalam tempoh enam bulan tersebut, hanya program atas dasar sewaan lokasi sahaja yang diadakan sebaliknya tiada program kerajaan mahupun agensi negeri diadakan di situ.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");