Perak Hari Ini

Jangan Abaikan Pelajar Kurang Cemerlang – MB Perak

IPOH: Dalam kegembiraan meraikan pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik, semua anggota masyarakat diseru untuk turut tidak mengabaikan golongan pelajar yang sebaliknya.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, walaupun umum menyedari tugas para guru tidak mudah namun, beliau menyeru agar mereka dapat terus memainkan peranan penting, yang tidak hanya sekadar mengajar berdasarkan mata pelajaran dan silibus yang ditetapkan.

Menurutnya, setiap guru harus peka dan memahami kekangan yang dihadapi setiap pelajar serta, turut cuba membantu mereka untuk menyelesaikan masalah mereka.

“Setiap pelajar ada kekurangan dan keisitimewaan masing-masing. Mungkin mereka menghadapi masalah dalam keluarga sehingga terbawa-bawa ke sekolah atau menjejaskan pelajaran serta sikap mereka.

“Pada para gurulah kita bergantung harapan supaya dapat membantu mengesan dan mencari jalan penyelesaian.

“Saya memahami, kekangan tugasan mungkin menyebabkan sesetengah guru mungkin tidak mahu memberi perhatian kepada pelajar-pelajar yang bermasalah khususnya isu disiplin dan sebagainya.

Tapi percaya dan yakinlah, Allah akan memberi ganjaran terbaik atas kesungguhan kita dalam memberi apa yang lebih daripada pendapatan yang kita perolehi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Jelapang, di Hotel Casuarina, Meru Raya, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, ujar Ahmad Faizal, para ibu pada dan guru juga diseru untuk memandang konteks pendidikan dalam kalangan pelajar dengan lebih luas.

Katanya, pendidikan bukan sekadar berkenaan menguasai mata pelajaran yang baik sebaliknya, pendidikan juga harus mampu membina keupayaan pelajar dalam bidang kokurikulum, kepimpinan, sukan, kemahiran insaniah dan sebagainya.

“Kita perlu menyedari bahawa anak-anak pada hari ini akan mendepani cabaran-cabaran yang lebih getir pada masa hadapan.

“Untuk itu, kita perlu memahami aspirasi Misi Nasional dan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2013 hingga 2025, yang mana salah satu teras utamanya adalah menjana modal insan minda kelas pertama,” ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");