Berita Hari Ini

Kalau Nak ‘Copy Paste’, Ambil Terus Semua

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2019 didakwa mempunyai empat prinsip utama iaitu sekadar salin-tampal (copy-paste), tukar nama, kesinambungan daripada pentadbiran Barisan Nasional (BN) terdahulu dan tidak lengkap.

Khairy Jamaluddin (BN-UMNO-Rembau) turut menyifatkan angka besar Belanjawan 2019 tidak memberi harapan untuk merancakkan pembangunan, meningkat pengagihan kekayaan dan membantu Malaysia ‘kalis masa depan’.

“Saya melihat Belanjawan 2019 yang dibentangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) ini mempunyai empat prinsip utama iaitu ‘copy-paste’, tukar nama atau ‘rebranding’, kesinambungan atau ‘continuation’ dan tidak lengkap.

“Pembentangan Belanjawan 2019 tempoh hari boleh disimpulkan kebanyakan program dan inisiatif dilaksanakan kerajaan PH adalah kesinambungan pentadbiran BN sebelum ini.

“Malah, sebahagiannya hanya dijenamakan semula untuk memadam legasi BN yang terbukti cemerlang. Terlalu banyak untuk disebut, it is going to be a long list (senarainya terlalu panjang),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Ketua Pembangkan membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 di Dewan Rakyat, hari ini.

Khairy berkata, pencapaian Malaysia dalam Laporan Ease Of Doing Business yang dikeluarkan Bank Dunia bagi 2019, menyaksikan kedudukan Malaysia melonjak dari tempat ke-24 kepada 15, membabitkan penilaian dari 2 Jun 2017 sehingga 1 Mei 2018.

“Ini menzahirkan bukti kejayaan dasar BN dalam memudah cara urusan perniagaan dan pelaburan asing ke Malaysia.

“Janganlah sampai ‘lembu punya susu, sapi dapat nama’. Kalau nak ‘copy paste’, eloklah diambil semua dasarnya” katanya.

Khairy berkata, Bantuan Sara Hidup (BSH) hanya penjenamaan semula Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dimulakan BN.

Apa yang mengecewakan, katanya, bantuan berkurang kepada antara RM500 hingga RM1,000 lapor NSTP.

“Jika BN masih memerintah, BR1M sudah pasti dinaikkan sehingga RM2,000 dan golongan B40 terus dibela.

“Subsidi untuk menstabilkan harga barangan keperluan asas sejumlah RM150 juta adalah program kerajaan BN yang diteruskan oleh PH, bukannya dasar baharu.

“Demi kemaslahatan rakyat, BN sentiasa memperuntuk sejumlah peruntukan besar, misalnya RM3.9 bilion pada Bajet 2018 untuk subsidi barangan dan pengangkutan, termasuk gas memasak, tepung, minyak masak, subsidi elektrik dan tol.

“Bantuan ini pula disokong oleh program subsidi bersasar iaitu BR1M untuk membantu golongan B40,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");