Perak Hari Ini

Kerajaan Negeri Seru Masyarakat Banyakkan PAKK Di Perak

IPOH: Masyarakat secara umumnya diseru untuk menjadi sukarelawan dan tampil membantu kerajaan dalam usaha memperbanyakkan lagi Pusat Aktiviti Kanak-kanak (PAKK) di seluruh Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Sosial, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Wong May Ing berkata, inisiatif di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu memerlukan gerak kerja para sukarelawan manakala pihak kerajaan pula hanya bertanggungjawab menyediakan tapak mahupun geran kelulusan aktiviti.

Jelasnya, sebagaimana Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), PAKK juga merupakan program yang bertujuan membantu terhadap pembangunan sosial kanak-kanak menerusi pelbagai aktiviti yang dirancang.

“Konsep PAKK ini seperti untuk anak-anak yang selepas pada waktu sesi persekolahan, mereka boleh datang ke PAKK untuk mengulang-kaji pelajaran.

“Di PAKK juga mereka boleh mengeratkan lagi hubungan sesama anak-anak dengan cara yang sihat selain ia dapat membantu mengelakkan mereka daripada pergi ke tempat-tempat lain yang boleh mengundang kepada kegiatan yang tidak sihat.

“Jadi, saya menyeru agar warga masyarakat secara sukarela dapat mengadakan PAKK di sesuatu kawasan. Selepas itu, kerajaan boleh melihat bagaimana cara untuk kita dapat membantu mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Program Dr Little dan Kelab Dr Little di Hospital Pantai Ipoh, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut tentang program tersebut, May Ing berkata, inisiatif tersebut seharusnya disambut baik oleh semua pihak kerana ia merupakan salah satu langkah yang mampu untuk menggalakkan kanak-kanak mengamalkan cara hidup dan pemakanan yang sihat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pantai Ipoh, Chong Siet Fong berkata, program yang berlangsung selama sehari itu disertai 180 kanak-kanak yang berusia seawal umur 6 sehingga 11 tahun.

Jelasnya, pada peringkat awal, program dan kelab Dr Little hanya terbuka kepada kanak-kanak yang dilahirkan di Hospital Pantai Ipoh namun kini ianya terbuka kepada penyertaan orang ramai.

“Walaupun ada 180 orang penyertaan namun, masih lagi ramai ibu bapa yang mahu mendaftarkan anak mereka ke kelab Dr Little. Mungkin selepas ini kita akan adakan program seumpama ini pada waktu lain.

“Sebagai contoh, selain daripada program ini, kita bakal mengadakan program ‘Dentist A Day’ dalam masa terdekat,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, selain daripada informasi tentang pemakanan sihat, kesemua peserta turut didedahkan dengan cara-cara pembersihan tangan yang betul dan pengenalan terhadap organ-organ dalam tubuh badan manusia.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");