Berita Hari Ini

Pasukan Penyiasat Jumpa Keluarga Mangsa Pesawat Lion Air

JAKARTA: Pasukan penyiasat pengangkutan Indonesia berjumpa dengan keluarga mangsa pesawat Lion Air yang terhempas bulan lalu, membunuh semua 189 penumpang dan kru, beberapa jam sebelum mengumumkan hasil laporan siasatan awal, pagi ini, kata seorang pegawai.

Menurut laporan Bloomberg yang memetik sumber yang mengetahui kandungan laporan berkata, juruterbang berusaha mengendalikan sistem anti-pegun pesawat Boeing Co 737 MAX dan pada masa sama mereka berusaha mengesan beberapa masalah lain yang berlaku.

Apa yang dilaporkan itu sejajar dengan maklumat yang dirakam perakam data penerbangan yang diserahkan kepada parlimen Indonesia oleh jawatankuasa keselamatan pengangkutan negara itu, minggu lalu.

Bloomberg yang memetik sumbernya berkata, laporan itu secara mudah merumuskan punca pesawat terhempas tetapi mengemukakan data baharu berhubung penyelenggaraan pesawat, arahan penerbangan kepada juruterbang, manual penerbangan Boeing, cuaca setempat dan usaha untuk mengesan bangkai pesawat itu.

Ketua Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (KNKT), Soerjanto Tjahjono ketika ditanya hari ini menolak untuk memberi sebarang ulasan kepada Reuters sebelum laporan itu didedahkan kepada umum.

Menurut seorang pegawai, KNKT mengadakan pertemuan dengan keluarga mangsa di Jakarta dan Pangkal Pinang, bandar bijih timah yang menjadi destinasi pesawat malang itu sebelum ia terhempas di Laut Jawa.

Keluarga salah seorang mangsa memberitahu media tempatan, maklumat yang diberi agak ‘mengecewakan’ kerana kebanyakan butirannya sudah diketahui umum.

Kemalangan yang membabitkan pesawat Lion Air adalah yang pertama berlaku membabitkan pesawat 737 MAX sejak perkhidmatannya pertama kali diperkenalkan di seluruh dunia. – Reuters

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");