Berita Hari Ini

Pemimpin Tidak Amanah Sengsarakan Ummah – Sultan Nazrin

PUTRAJAYA – Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah pemimpin yang tidak amanah dan berintegriti akan mengakibatkan ummah berada dalam keadaan sengsara.

Memetik laporan Utusan Online, Baginda bertitah, kemiskinan ummah akan menjadi lebih buruk apabila pemimpin lebih mengutamakan agenda membina kekayaan material dengan mengambil dan menidakkan hak ummah secara tidak adil.

“Kekayaan material yang diperoleh secara mencurigakan akan melahirkan individu kaya secara mendadak tanpa dilengkapi kekayaan minda, kekayaan intelek, kekayaan ilmu dan juga kekayaan rohani,

“Itu merupakan kekayaan palsu, yang sangat sementara sifatnya, sekadar melahirkan budaya bermewah-mewah, bermegah-megah, serta budaya yang melakukan banyak pembaziran,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan mencemar duli menghadiri majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1440H/2018M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim turut berangkat mencemar duli ke majlis yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Sultan Nazrin bertitah, masalah itu juga mengakibatkan berlaku ketirisan sumber, pembangunan yang tempang, serta peningkatan kadar pengangguran, penghijrahan, penyeludupan, jenayah serta kadar rasuah yang tinggi selain disusuli dengan pelbagai penyakit sosial.

“Akhirnya ketenteraman awam terjejas, kestabilan politik tergugat, dan ummah bertambah derita kerana terperangkap dalam putaran ganas penderitaan,” titah baginda.

Tambah baginda, sekiranya kerajaan ingin menggubal sesuatu perjanjian mahupun dasar, penyertaan pelbagai pihak perlu diutamakan demi kepentingan rakyat sejagat.

“Amatlah penting diamalkan sifat inklusif, dipastikan adanya partisipasi yang melibatkan penyertaan pelbagai pihak, mewakili pelbagai konstituen, terutama ketika menangani isu-isu sensitif, kontroversi dan menyentuh pendirian yang bertentangan.

“Kerana itu Rasulullah mengamalkan budaya syura, untuk membolehkan pelbagai pandangan dan kelainan pendapat disuarakan, dihujahkan dan kemudiannya diterokai titik pertemuan,” titah baginda.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");