Berita Hari Ini

Syor Subjek Rasuah Dijadikan Subjek Wajib Di Sekolah – Shukri Abdull

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya menjadikan subjek rasuah sebagai subjek wajib di sekolah.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, berkata sikap membenci rasuah perlu ditanam dalam diri pelajar dari peringkat awal bagi mengelak ia merebak apabila mereka dewasa.

“Saya sudah berjumpa Menteri Pendidikan dan mengesyorkan supaya subjek rasuah dijadikan subjek wajib dan diadakan peperiksaan.

“Biar peringkat awal ditanam benci rasuah kerana kerana keadaan rasuah ketika ini amat membimbangkan,” katanya ketika berucap sebagai panel dalam Forum Permuafakatan SPRM-KPM 2018 di Dewan Seri Siantan, Perbadanan Putrajaya di sini, hari ini.

Mengulas lebih lanjut, Mohd Shukri turut mendedahkan pelakuan rasuah yang merebak di sekolah turut membabitkan pelajar dan guru.

“Ada kes guru meminta ‘anu’ atau seks daripada pelajar bagi membolehkan lulus peperiksaan.

“Malah ada juga kes pelajar memberi wang rasuah kepada rakan sekelas bagi membolehkan dilantik sebagai ketua kelas dan juga sokongan sebagai ketua pengawas.

“Kalau kecil-kecil macam ini sudah pandai bermain dengan duit, macam mana nak harap mereka jadi pemimpin satu hari nanti, kerana itu pentingnya didikan awal untuk benci rasuah diterapkan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shukri berkata, pelakuan rasuah yang berlaku di negara ini sangat memalukan dan amat membimbangkan hingga hari ini negara luar memandang Malaysia sebagai negara kleptokrasi.

“Selalu orang bertanya rasuah di Malaysia meningkat atau turun, penceramah selalu tak berani nak cakap benar, selalu cakap rasuah di Malaysia ini boleh dikawal, lebih kurang macam itu.

“Tapi saya ini tak suka cakap tak benar, saya cakap terus terang, rasuah di Malaysia membimbangkan, Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pada 2014, markah kita 52 sahaja dan menunjukkan trend penurunan sehingga kepada 47 markah tahun lalu.

“Adakah indeks ini makin baik atau makin buruk, ini adalah fakta, kita terkenal di mata dunia sebagai negara kleptokrasi, bukan negara integriti, memang memalukan.

“Malah ketika saya pergi ke luar negara pada 2016, ada orang luar tengok saya rupa Asia dan bertanya saya dari negara mana, saya malu nak sebut Malaysia (kerana pandangan mereka terhadap negara kita), saya cakap saya orang Indonesia,” katanya.

Laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2017 dikeluarkan TI Februari lalu mendapati Malaysia mencatat penurunan daripada kedudukan ke-55 kepada kepada 62 daripada 180 negara.

Malaysia memperoleh markah 47 daripada 100 dalam ditetapkan TI. Walaupun berada pada kedudukan ketiga dalam kalangan 10 negara ASEAN, ia masih jauh terkebelakang dari segi markah lapor NSTP.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");