shadow

SABAK BERNAM – Gerakan Baju Merah menyasarkan seramai 35,000 ahlinya dijangka menghadiri perhimpunan bantahan cadangan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), esok.

Pengerusinya, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, gerakan itu akan tampil dengan imej berbeza berbanding perhimpunan dianjurkan mereka sebelum ini.

“Ini adalah perhimpunan aman dan yang paling menariknya perhimpunan kali ini telah pun mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa.

“Buat apa kita hendak mengadakan protes demostrasi, sebaliknya solidariti perhimpunan ummah untuk mempertahankan Perlembagaan itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian selepas Himpunan Ummah Membantah ICERD Peringkat Parlimen Sungai Besar di Bangunan Umno Bahagian Sungai Besar, di sini, malam tadi.

Jamal yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar berkata, BN yang sebelum ini memerintah negara sejak 61 tahun kemerdekaan telah membawa rakyat yang berbilang kaum, agama dan bangsa hidup dalam suasana aman dan harmoni.

“Semua kaum bebas mencari rezeki di negara ini, tanpa ada sebarang halangan, tetapi mengapa hanya beberapa bulan setelah tumbangnya kerajaan BN isu ini ada?,” katanya.

Tegas beliau, penyertaan ahli Gerakan Baju Merah terdiri daripada badan bukan kerajaan (NGO) semata-mata sebagai tanda sokongan terhadap penganjuran membantah ICERD.

“Menariknya (perhimpunan) kali ini, ramai kenalan daripada kaum Cina dan India akan terlibat sama dalam gerakan ini,” katanya.

Jamal berkata, beliau difahamkan seramai 1,500 anak muda di Sungai Besar juga akan menyertai konvoi bermotosikal bagi membantah ICERD.

Katanya, melalui perjumpaan bersama rakan-rakan Pas dan NGO terdapat ahli berlainan ideologi politik ingin bersama-sama menyertai perhimpunan itu.

“Saya hendak maklumkan ramai daripada ahli PKR dan Amanah berjumpa dengan saya serta rakan-rakan lain untuk mengikut sekali rombongan daripada Sungai Besar,” katanya.

Komen & Pendapat