Perak Hari Ini

“Lawatan Ke Gereja Sekadar Penyelidikan, Penuhi Tuntutan Subjek”

IPOH: Baru sahaja reda isu pengedaran risalah “Muslim Love Jesus – He is a Prophet of God”, kini pula kecoh apabila seorang pengguna sosial media Facebook bertindak memuat naik sekeping gambar yang memaparkan beberapa wanita Islam, lengkap bertudung, berada di dalam sebuah gereja di Pulau Pinang.

Ia turut disertai dengan keterangan gambar ataupun kapsyen yang berunsurkan politik dengan mendakwa umat Islam di Pulau Pinang sudah mula dibenarkan belajar di gereja.

Posting tersebut turut mengundang reaksi kurang senang daripada segelintir netizen yang juga mengaitkan gambar tersebut dengan agenda kristianisasi.

Gambar tersebut sebenarnya adalah sebahagian daripada program ‘Harmony Visit’ yang dianjurkan oleh pelajar tahun akhir, Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam daripada Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar.

Pengarah program yang juga pelajar USAS, Wan Akmal Syahiran dalam satu kenyataan menjelaskan, kesemua peserta ataupun pelajar yang berada dalam gambar yang ditularkan itu dikehendaki melaksanakan tugasan mereka dalam konteks untuk memahami konsep setiap agama selain daripada Islam.

Jelasnya, ia bagi mencapai objektif pembelajaran subjek iaitu mempelajari perbandingan agama dengan melihat sendiri praktikal agama tersebut.

Tambahnya lagi, para pelajar juga harus mendapatkan maklumat lanjut tentang sesuatu amalan agama kepada pihak ataupun individu yang berkelayakan.

Tegasnya, pelaksanaan tugasan tersebut tidak lebih sekadar untuk penyelidikan.

“Situasi yang dapat dilihat dalam gambar bukanlah menunjukkan para pelajar sedang melakukan apa-apa tindakan mengikut upacara keagamaan itu.

“Sebaliknya mereka hanya menjadi pemerhati terhadap segala apa yang dilakukan oleh pihak gereja di ruangan tersebut. Mereka tidak berdiri ketika orang lain berdiri, tidak melutut seperti mana orang lain berlutut. Hanya menonton dari kerusi mereka.

“Tiada sebarang isu penyebaran dakyah kristianisasi atau cubaan mengajar muslim di dalam gereja, malah jauh sekali tuduhan yang mengatakan ini berkaitan dengan isu politik,” tegasnya.

 

Penganjuran Edisi Ke-4

Sementara itu, ahli jawatankuasa publisiti program, Ahmad Farizzuan Samsul, berkata program ‘Harmony Visit’ merupakan tugasan utama, di bawah subjek ‘Perbandingan Agama’ yang melibatkan 50 pelajar.

Jelasnya program tersebut sudah memasuki siri keempat dan ia berlangsung selama 3 hari, pada minggu lalu.

Difahamkan, para pelajar yang ditemani seorang pensyarah USAS telah mengunjungi enam buah rumah ibadat di sekitar Pulau Pinang termasuk rumah ibadat bagi agama Sikh, Hindu, Bahai, Buddha dan Taoisme.

“Ini penganjuran kali keempat. Kali pertama telah diadakan di Kuala Lumpur. Siri kedua di Singapura dan siri ketiga pula ke Indonesia.

“Sebelum ini tiada sebarang isu. Kami tidak faham kenapa kali ini pula perkara ini dijadikan isu,” katanya kepada PerakToday, hari ini.

Selain itu, Ahmad Farizzuan juga turut menzahirkan kekesalan beliau terhadap tindakan segelintir pihak yang memfitnah program tersebut selain penganjur turut dicemuh beberapa netizen yang tidak mengetahui perkara sebenar.

Walau bagaimanapun, katanya pihak mereka mendapati posting fitnah tersebut telah pun dipadam.

 

Berlaku Salah Faham Kerana Kurang Pemahaman

Pada masa sama, Pensyarah Perbandingan Agama USAS, Siti Nurleha Saffie, mengesahkan bahawa program ‘Harmony Visit’ memang memerlukan para pelajar untuk melakukan kajian perbandingan agama menerusi kaedah pemerhatian dan turun ke lapangan .

“Saya selaku pensyarah Perbandingan Agama yang juga graduan lepasan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) dalam bidang Perbandingan Agama, melihat isu ini sebagai petanda bahawa kurangnya ilmu dan pemahaman kita dalam agama Islam itu sendiri.

“Tidak mudah untuk kita meletakkan kriteria murtad pada seseorang. Apabila jelas menunjukkan seseorang itu menyembah selain daripada Allah secara jelas, maka terkeluarlah dia daripada Islam.

“Kesedaran pada ilmu akidah, dakwah dan perbandingan agama perlu diberikan pendedahan yang maksimum supaya salah faham seperti ini tidak berlaku lagi,” katanya dalam satu kenyataan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");