Perak Hari Ini

“Mereka ‘Left Group ‘WhatsApp’ Satu Jam Sebelum ‘Left’ Parti”

IPOH: Bekas wakil rakyat UMNO yang ‘melompat parti’ kebiasaannya terlebih dahulu akan keluar daripada ‘WhatsApp Group’ satu jam sebelum pengumuman itu dibuat, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Saarani Mohamad.

Jelasnya, apabila terdapat mana-mana ahli UMNO yang bertindak keluar daripada ‘WhatsApp Group’ parti, kepimpinan parti sudah dapat mengagak bahawa individu tersebut bakal bertindak keluar parti dalam masa terdekat.

“Kebiasaannya satu jam sebelum umum keluar parti, dia akan ‘left’ semua ‘WhatsApp Group’ parti. Daripada tindakan itu, kita sudah dapat tahu.

“Apabila dia mula ‘left group’ ketua-ketua bahagian, ‘group’ ahli parlimen dan beberapa ‘WhatsApp Group’ parti, kita akan syak yang dia akan keluar,” katanya dalam satu sidang media di Bangunan UMNO Perak di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita tentang adakah terdapat sebarang respons daripada wakil rakyat yang telah melompat parti dalam ‘WhatsApp Group’ UMNO, berhubung keputusan UMNO Negeri dalam menyeru semua ahli mereka supaya memberikan sokongan kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk menjalankan tugas sebagai Presiden.

Ia juga kerana Saarani terdahulu menyebut bahawa keputusan untuk terus menyokong mantan Menteri Besar Negeri Sembilan itu berdasarkan respons dan komen yang terdapat dalam ‘WhatsAap Group’ Ketua-ketua UMNO Bahagian Perak serta Jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO Negeri.

Ujarnya, keputusan UMNO Perak itu juga senada dengan apa yang disebutkan oleh ahli-ahli UMNO Negeri menerusi respons dan komen-komen berhubung perkara berkenaan.

Selain itu, ketika ditanya sama ada wakil-wakil rakyat yang melompat parti itu adalah disebabkan alasan yang bersandarkan kepada kelemahan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid sebagai Presiden UMNO, Saarani secara peribadi menafikannya.

Jelasnya, wakil-wakil rakyat tersebut sememangnya sudah berkeinginan untuk keluar parti namun mereka dengan sengaja mendakwa kelemahan Zahid sebagai satu alasan untuk menjustifikasikan tindakan mereka itu.

“Mereka yang keluar parti itu telah melukakan hati ahli UMNO, hati pengundi dan penyokong mereka di kawasan. Dan luka itu sangat dalam,” katanya.

Semalam, Zahid membuat keputusan untuk menyerahkan tugas sebagai Presiden UMNO kepada Mohamad dan ia dikatakan sebagai langkah untuk menguatkan lagi parti dalam mendepani cabaran politik masa kini.

Saarani dalam sidang media yang sama turut berkeyakinan bahawa Mohamad mampu menggalas tugas tersebut dengan baik selain ia dilihat mempunyai kekuatan dan kebolehannya tersendiri dalam mengemudi parti, buat masa ini.

“Tindakan untuk memecahbelahkan UMNO ini bukan datang daripada dalam sebaliknya ia datang dari luar yang mana mereka di luar itulah yang mengadu domba dan menyebabkan ahli kita melompat.

“Keputusan Zahid itu saya yakin ia mampu meredakan keadaan. Semua ahli hendaklah terus memberi fokus kepada usaha untuk mengukuhkan parti serta memenangi kembali hati pengundi untuk Pilihanraya Umum yang akan datang, ”ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");