Berita Hari Ini

PTPTN: Untung Rugi Skim PGB

Setelah mendapat kecaman pelbagai pihak, kerajaan akhirnya memutuskan untuk menggantung pelaksanaan skim pembayaran semula mengikut potongan gaji berjadual (PGB) terhadap peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Antara punca bantahan orang ramai adalah peratusan potongan yang dilihat tinggi bagi peminjam berpendapatan RM4,000 ke atas, iaitu antara lapan hingga 15 peratus.

Pengumuman itu pastinya membuatkan ramai peminjam dalam kategori itu menarik nafas lega kerana kadar tersebut ternyata membebankan, seperti yang diluahkan mereka yang ditemui Malaysiakini di Kuala Lumpur.

Kebanyakannya mengakui terbeban dengan PGB yang sepatutnya dilaksanakan bermula Januari depan, kerana walaupun memiliki gaji bulanan yang boleh dianggap tinggi, mereka juga mempunyai banyak komitmen yang perlu ditanggung.

Bagi Nur Salihin Salahuddin, 28, yang bergaji lebih RM4,000, kerajaan bukan sekadar perlu menggantung PGB secara sementara, malah mengkaji semula skim itu, terutama menjadikan sejarah pembayaran peminjam sebelum ini sebagai faktor.

Beliau yang bekerja sebagai jurutera mengakui mempunyai beberapa komitmen bulanan lain, termasuk pembayaran hutang pelajaran berdasarkan penjanjian bayar balik ujrah dengan PTPTN.

“Saya ambil keputusan beli rumah, tukar kereta, dan sudah merancang menambah keluarga kerana saya kira masih mampun menanggung komitmen tersebut.

“Penstrukturan semula bayaran balikmengganggu perancangan yang telah dilakukan. Kalau dimaklum lebih awal, kita boleh rancang awal-awal. Misalnya saya pun tak akan beli rumah dan tak tambah anak,” katanya lagi.

Hal sama turut dikongsi pegawai bank Darren Leong, 31, yang berpendapat kadar potongan PGB tidak adil bagi peminjam yang berpendapatan RM8,000 ke atas sepertinya.

“Agak membebankan. Saya ada komitmen lain seperti rumah dan kereta, perlu tanggung ibu bapa dan beberapa komitmen lain lagi.

“Bukan kerana pengumuman yang terlalu mengejut. Bagus jika PTPTN dapat semula wang mereka, tetapi bagi kami pemotongan 15 peratus terlalu tinggi,” katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, PTPTN melalui PGB menetapkan kadar baru pemotongan gaji bagi pembayaran semula.

Bagi peminjam bergaji RM2,000 sehingga RM3,999, peratusan yang ditetapkan antara dua hingga lima peratus.

Tetapi bagi gaji melebihi paras itu – bermula RM4,000 hingga melebihi RM8,000 – peratusannya lebih tinggi, iaitu antara lapan hingga 15 peratus.

Justeru tidak pelik jika PGB mendapat sambutan positif di kalangan mereka yang berpendapatan lebih rendah – RM3,000 ke bawah.

Mohamad Abis Ho Mohamad Kamal Ho, yang berpendapatan bawah RM2,500, berkata beliau terbeban dengan jadual bayaran PTPTN sebelum ini iaitu lebih RM100 sebulan sejak tahun 2013.

“Saya rasa ini (PGB) lebih baik, sebab saya memang rasa terbeban. Lebih-lebih lagi saya sudah berkeluarga dengan komitmen kereta dan rumah setiap bulan,” kata pemuda berusia 26 tahun itu.

Bagi R Sundar, 35, pula, yang bergaji bawah RM3,000, kadar baru PGB membolehkannya menambahkan simpanan bulanan peribadinya.

Dengan kadar baru, katanya, beliau boleh membayar RM100 sebulan berbanding RM400 sebulan sebelum ini.

Walaupun merasakan bayaran sebelum ini sebagai membebankan, beliau yang sudah berkeluarga dan mempunyai komitmen bulanan seperti kereta dan rumah berkata tidak pernah culas membayarnya setiap bulan kerana ia adalah satu tanggungjawab.

Selain penetapan kadar baru, Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan juga sebelum ini menyatakan badan itu akan bekerjasama dengan enam agensi bagi mendapatkan maklumat pendapatan peminjam.

Menjawab kritikan, beliau mengatakan pelaksanaan PGB sebagai penting bagi memastikan manfaat pinjaman PTPTN dapat diberikan kepada generasi akan datang.

“Kerajaan mempunyai pilihan adakah mahu memberi keutamaan kepada peminjam hari ini, atau memastikan kelestarian PTPTN supaya jutaan anak-anak kecil hari ini mempunyai dana untuk masuk IPT pada masa akan datang,” katanya.

Namun hari ini Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengumumkan ia akan digantung bagi membolehkan kerajaan mendapatkan maklum balas semua pihak.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");