Berita Hari Ini

Taiping Disenarai Sebagai 100 Destinasi Lestari Terbaik Dunia 2018

IPOH – Bandar Warisan Taiping menerima pengiktirafan antarabangsa apabila tersenarai sebagai antara 100 Destinasi Lestari Terbaik 2018 yang dianjurkan oleh gabungan 13 organisasi dari seluruh dunia.

Memetik laporan Bernama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT) Datuk Abd Rahim Md Ariff berkata MPT menyertai anugerah itu selepas dicadangkan oleh seorang juri Anugerah Bandar Raya Pelancongan Bersih ASEAN yang melawat Taiping.

“Saya merasa gembira dengan pencapaian yang membanggakan ini yang juga kejayaan bersama seluruh komuniti Taiping, agensi-agensi yang berusaha menjaga kelestarian daerah ini serta pegawai-pegawai dan kakitangan MPT,” katanya.

Menurutnya kejayaan itu menyusuli pencapaian sebelum ini antaranya ‘Best Destination Manager 2016’ yang dianugerahkan oleh Lembaga Penggalakan Pelancongan Bandar Raya Asia Pasifik, Anugerah Emas Majlis Pelancongan Malaysia 2017 dalam kategori Destinasi Pelancongan Warisan dan Eko Terbaik selain memenangi kategori Kempen Promosi Pelancongan Terbaik untuk edisi 2018.

Beliau berkata MPT sentiasa berusaha untuk menjadikan Taiping sebagai sebuah bandar yang bersih dan kekal sebagai destinasi ekopelancongan peringkat antarabangsa.

Sehubungan itu katanya MPT akan meningkatkan kerjasama erat dengan kerajaan negeri dan persekutuan khususnya bagi merancakkan lagi industri pelancongan negeri dan Malaysia.

“Harapan saya agar semua agensi yang melaksanakan perkhidmatan dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan kelestarian alam sekitar dan pembangunan mampan perlu terus komited melaksanakan tanggung jawab masing-masing agar bandar ini dan daerah Larut Matang amnya akan terus lestari dan menjadi tumpuan dunia.

“Seluruh komuniti, penduduk dan masyarakat, sama ada di bandar dan di luar bandar di daerah ini mestilah turut berusaha untuk menjadikan kawasan kita sentiasa bersih, terpelihara dan terhindar dari kekotoran, sampah dan kerosakan alam sekitar,” katanya.

Anugerah 100 Destinasi Lestari Terbaik 2018 merupakan anjuran bersama antaranya Green Destinations Foundation dari Belanda, ITB Berlin (Jerman), Asian Ecotourism Network (Thailand); Ecotourism Australia (Australia), The Long Run (United Kingdom) dan Linking Tourism & Conservation (LT&C) dari Norway.

Peserta akan diraikan dan menerima sijil di ITB Earth Award di ITB Berlin pada 6 Mac depan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");