KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa anggota Kabinet tidak mengeluarkan kenyataan bercanggah berhubung projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) bernilai RM81 bilion.
“Saya rasa menteri kewangan atau perdana menteri lebih layak menjelaskannya. Projek itu bukan di bawah portfolio saya.
“Untuk mengelakkan kekeliruan, lebih baik saya tidak memberi komen. Saya serah kepada budi bicara menteri bertanggungjawab untuk membuat pengumuman.
“Lebaik baik tiada kenyataan bercanggah daripada menteri Kabinet Pakatan Harapan lain. Saya bercakap sebagai orang lama,” katanya selepas melancarkan buku karya Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad mengenai pilihan raya umum ke-14 di sini, hari ini.
Muhyiddin berkata, beliau hadir dalam mesyuarat Kabinet 2 hari lalu, tetapi tidak tahu pengumuman mengenai pembatalan projek ECRL.
Bagaimanapun, beliau meminta semua pihak menunggu kenyataan rasmi dikeluarkan kerajaan berhubung status kontrak ECRL.
Pagi tadi, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan Putrajaya membatalkan kontrak dengan China Communication Construction Company Ltd (CCCC) dalam mesyuarat Kabinet 2 hari lalu.
Katanya, keputusan itu diambil selepas meneliti semula kos yang didapati terlalu besar dan di luar kemampuan kewangan kerajaan buat masa ini.
“Sekiranya projek itu tidak ditamatkan, kadar faedah yang perlu dibiayai kerajaan adalah hampir RM500 juta setahun.
“Oleh itu, projek perlu ditamatkan tanpa menjejaskan hubungan dengan China,” kata Azmin hari ini.
Kerja berkaitan bidang kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian ECRL digantung pada Julai lalu.
Jika diteruskan, projek sepanjang 688.3km itu akan menghubungkan Pelabuhan Klang di Selangor dengan Pengkalan Kubor di Kelantan melalui 2 fasa pembangunan.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bagaimanapun dipetik Malaysia Gazette berkata, beliau terkejut dengan pengumuman Azmin.
Katanya, Azmin mungkin “tidak dimaklumkan” perkara tertentu yang diputuskan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini mengenai projek itu.