Jenayah

Kes Bunuh Bekas Calon AMK: Polis Tahan Empat Individu

SHAH ALAM — Empat individu termasuk seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan kes seorang bekas calon Anggota Jawatankuasa Angkatan Muda Keadilan (AMK) cabang Shah Alam yang maut akibat ditetak di tingkat bawah Rumah Pangsa Nilam Sari di Seksyen 7 di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat berkata, kesemua mereka yang berusia lingkungan 20 hingga 25 tahun itu ditahan malam tadi di sekitar Shah Alam dan Klang.

“Keempat-empat mereka telah direman tujuh hari bermula hari ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini, lapor Bernama.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, mangsa M Thiyahu, 30, diserang tiga lelaki bersenjatakan parang yang menaiki sebuah kereta jenis Proton Waja sebelum mangsa dibawa oleh orang ramai ke Hospital Shah Alam.

Susulan kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian muka, belakang kepala, tangan kanan serta kedua-dua kaki, dan meninggal dunia kira-kira 6.30 petang ketika sedang menerima rawatan.

Fadzil dalam pada itu memohon orang ramai untuk membantu mengesan seorang lelaki yang dikenali sebagai Ozziram M Devan bagi membantu siasatan kes bunuh tersebut.

Lelaki yang digelar Ozi itu dikesan beralamat terakhir di Taman Karupiah, Padang Jawa, Klang, dekat sini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya boleh menghubungi pegawai penyiasat kes ASP K Vignesh Kumar di talian 03-55202222,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");