Berita Hari Ini

Murninya Hati Warga Thailand Cagar Geran Tanah Untuk Ikat Jamin Abd Wahab

KUALA LUMPUR: Di sebalik kesempitan dihadapi rakyat Malaysia yang terkandas di Krabi, Thailand, terselit kisah kemurnian hati seorang warga Thailand yang sanggup mencagarkan geran tanahnya bagi membolehkan Abd Wahab Yahaya, 56, diikat jamin.

Difahamkan, mengikut undang-undang di negara berkenaan, pesalah warga asing perlu membayar ikat jamin selain perlu ada jaminan orang tempatan dengan mencagarkan geran tanah atau rumah bagi memastikan individu yang ditahan tidak keluar dari negara itu.

Hanya dikenali sebagai Haji Ismail, keluarga Abd Wahab mengenali lelaki berkenaan pada 18 Disember lalu, malam sebelum kejadian, ketika menjamu selera di restoran milik warga Thailand itu.

Amirun Abd Wahab, 21, anak kepada Abd Wahab, berkata dia bersama seorang adik dan ibu bapanya makan di restoran selain sempat berborak selama dua jam dengan lelaki Melayu yang berasal dari Patani itu.

“Pada malam berikutnya bapa terbabit dalam kemalangan, kemudian pada 27 Disember bapa pergi ke balai polis berhampiran, namun anggota polis meminta bapa untuk menyediakan seorang penterjemah.

“Bagaimanapun, penterjemah yang biasa kami gunakan khidmatnya tidak dapat hadir, sebelum bapa meminta untuk berjumpa dengan Haji Ismail. Lelaki itu bersetuju dan menemani bapa ke balai polis seterusnya dibawa ke mahkamah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, ketika di mahkamah, bapa diarahkan untuk membayar ikat jamin sebanyak 120,000 bath (RM15,379), namun syarat untuk dibebaskan memerlukan seorang warga tempatan meletakkan geran tanah atau rumah sebagai cagaran bagi memastikan bapanya melunaskan pampasan kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia sebelum meninggalkan negara berkenaan.

“Pada awalnya Haji Ismail tidak mengetahui perkara itu kerana hanya menemani bapa ke mahkamah sebagai penterjemah bahasa, namun dia kemudiannya bersetuju untuk mencagarkan geran tanahnya sebelum dia ke pejabat kerajaan di sebelah bangunan mahkamah.

“Ketika urusan mendapatkan geran dan menyerahkan borang ikat jamin diselesaikan, bapa ditempatkan di lokap. Sebaik selesai proses ikat jamin dan cagaran geran tanah milik haji itu, bapa dilepaskan kira-kira jam 4.30 petang,” katanya.

Amirun berkata, dia sangat bersyukur kerana Haji Ismail sanggup membantu keluarganya walaupun tidak pernah mengenali dan tidak mempunyai sebarang hubungan kekeluargaan dengan lelaki itu.

“Tanah milik Haji Ismail berisiko untuk ditarik kerajaan Thailand sekiranya kami tidak dapat membayar pampasan kepada keluarga mangsa.

“Jumlah pampasan akan ditentukan ketika perbicaraan di mahkamah pada 9 Januari depan, namun sehingga kini kami difahamkan keluarga berkenaan menuntut sebanyak RM200,000,” katanya.

Sebelum ini, Abd Wahab dilaporkan terkandas di Krabi, Thailand selepas motosikal ditunggangnya bersama isteri terbabit dalam kemalangan hingga menyebabkan seorang pejalan kaki warga Thailand maut ketika bercuti di pusat peranginan berkenaan memetik laporan Berita Harian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");